Apa sudah jadi pada UMNO? – Muhyiddin
(Utusan) – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan UMNO menggantung serta menggugurkan beberapa pemimpinnya sebagai tindakan tidak berdemokrasi.
Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden UMNO berkata, sebarang keputusan besar seumpama itu seharusnya dilakukan mengikut prosedur sebelum bertindak menggugurkan keahlian mereka.
“Saya minta maaf, saya patut tak boleh campur urusan parti orang lain, tetapi kerana saya pernah berada dalam parti itu dan fikir kalau orang seperti saya pun lihat tentu mereka rasa kecewa atau dukacita.
“Apa sudah jadi dengan UMNO? Macam tiada demokrasi, buat keputusan pecat macam itu sahaja. Dia ada Perlembagaan setahu saya dan saya dulu Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan UMNO, ikutkan kalau seseorang pemimpin atau sesiapa nak dipecat ada prosedur.
“Hantar surat tunjuk sebab, kemudian ada ruang untuk dirayu, dipertimbangkan, tetapi yang ini dengarnya macam semalam bincang, semalam buat keputusan. Saya tak tahulah mungkin kuasa Presiden agaknya lebih besar,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, masa depan UMNO kini seperti sudah tersasar berikutan tindakan pemimpin tertingginya yang melampaui batas.
“Saya fikir masa depan UMNO dengan Melayu sudah tiada lagi. Minta maaflah, Presiden dah bertindak luar batas. Telah membawa UMNO ke satu hala tujuan yang bukan difikirkan awal-awal di situ, jauh tersimpangnya. Kalau saya nak fikir dari sudut PN dan Bersatu, kami bersorak, tapi hakikatnya kami tak bersorak.
“Kita akan terus berusaha untuk memberitahu pada orang Melayu bahawa Bersatu, Pas dan PN khususnya akan jadi parti yang diperjuangkan. Jangan harap pada UMNO lagi kerana UMNO dah tak boleh diharapkan,” katanya.
Dalam pada itu, Bersatu sedia memperhalusi sekiranya ada permohonan daripada pemimpin UMNO yang dipecat atau digugurkan ingin menyertai parti tersebut, katanya.