UMNO tak boleh sekadar ‘menumpang’ demi kuasa – Ku Li


(Berita Harian) – UMNO perlu menjalani reformasi supaya dapat mengubah imej parti itu selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), demi meraih semula keyakinan rakyat.

Veteran UMNO Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata UMNO perlu mengubah imej mengambil kira pelbagai perkara yang tidak baik berlaku dalam parti itu mencerminkan suasana yang tidak manis di mata umum.

“Kita kena bangkit sebagai sebuah parti yang kuat. Tidak menumpang orang untuk mendapat sedikit sebanyak pengaruh ataupun kuasa. Kita parti yang mewakili majoriti rakyat Malaysia sebagai parti orang Melayu.

“Jadi takkanlah kita berharap supaya kita duduk sebagai penumpang dan hanya mengharap kepada sedikit jawatan yang tidak memberi makna pun kepada kita,” katanya.

Beliau berkat demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian Gua Musang di Bukit Cekati di sini, semalam.

UMNO mutakhir ini dilihat bergelora dengan pelbagai isu yang timbul sehingga mencerminkan parti itu dilanda perpecahan.

Selain ketika berdepan PRU15 yang menyaksikan UMNO kalah teruk, kelemut dalam parti itu melarat sehingga ke pantas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 baru-baru ini, apabila isyarat konflik jelas kelihatan dalam isu berkaitan dua jawatan tertinggi parti yang tidak dipertandingkan.

Terkini, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memecat dan menggantung keahlian beberapa pemimpin UMNO yang dikatakan terbabit dengan tindakan sabotaj.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li positif bahawa UMNO mampu mencorakkan kembali kedudukan negara sekiranya berani untuk melakukan reformasi.

“Kita mahu mencorakkan kedudukan negara ini. Terutama sekali bagi pihak majoriti rakyat negara ini yang mahu kita menentukan hala tuju untuk masa depan negara,” katanya.

 



Comments
Loading...