PRN: JANGAN SYOK SENDIRI


Dato’ Iskandar A Samad

Ketika kita menunggu tarikh PRN, senario politik Selangor dikejutkan dengan spekulasi bahawa Dato’ Seri Azmin Ali akan kembali menjadi Menteri Besar tetapi kali ini mewakili Perikatan Nasional.

Respon saya kepada berita tersebut adalah terlalu awal untuk menamakan calon Menteri Besar dan terdapat ramai calon-calon lain yang juga layak.

Walau bagaimanapun saya berpendirian mana-mana parti yang memasuki PRN perlu menamakan calon Menteri Besar malah perlu menamakan calon-calon barisan Exco

Pengundi-pengundi hari ini adalah cerdik dan bermaklumat, mereka mahu tahu siapa yang akan menerajui pentadbiran jika sesebuah parti atau pakatan parti-parti memenangi PRN.

Amalan untuk hanya menamakan calon Menteri Besar dan juga barisan Exco selepas memenangi pilihan raya adalah amalan lapuk yang ketinggalan zaman dan tidak sesuai di negeri maju seperti Selangor.

Kenyataan seperti, “Undi aje kami, nanti kami tahulah nak buat apa”, tidak lagi dapat diterima di dalam politik moden hari ini sepertimana telefon Nokia 3010.

Justeru jika parti-parti serius untuk memenangi PRN, calon-calon mereka mesti yang berkemampuan untuk mentadbir negeri.

Ini penting terutamanya bagi negeri seperti Selangor yang merupakan pusat ekonomi negara dan dengan aset bernilai berbilion-bilion ringgit.

Majoriti pengundi bukan ahli parti, mereka tidak memiliki taat setia kepada mana-mana parti dan tidak ada masa untuk sebarang sentimen dalaman yang lazimnya menguasai orang-orang parti.

Mereka akan memilih calon-calon berdasarkan merit dan kadang-kala terdapat parti yang jahil terhadap faktor-faktor yang mempengaruhi pengundi membuat pilihan.

Jadi kepada parti-parti politik, jangan syok sendiri tetapi bertanya kepada rakyat apa yang mereka mahu.

Jangan pula kita merasakan calon-calon kita hebat berdasarkan kerja-kerja mereka di dalam parti tetapi ditertawakan oleh rakyat.

Soalan-soalan yang pengundi akan tanya adalah, “Mana lagi hebat calon pembangkang atau wakil rakyat sekarang?” dan juga, “Calon MB dan Exco pembangkang atau MB dan Exco sekarang?”

Jawablah dengan ikhlas tanpa sebarang prejudis.

 



Comments
Loading...