Belum sampai 100 hari memerintah sudah banyak kepincangan kerajaan PH-BN yang terserlah


TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN

Saya merujuk kepada laporan akhbar Free Malaysia Today bertarikh 8 Februari 2023 yang mendakwa kononnya saya terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada syarikat IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantu saya.

Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini. Ia adalah satu fitnah jahat yang sengaja direka untuk mencalar maruah saya dan keluarga.

Saya sebagai Perdana Menteri pada masa itu sama sekali tidak terlibat dalam proses penganugerahan kontrak NIISe kepada IRIS Corporation Berhad yang dijalankan secara tender terbuka. Proses perolehan kontrak dibuat mengikut tatacara perolehan biasa kerajaan di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan kementerian yang berkaitan. Ia bukan berada di bawah tanggungjawab atau bidangkuasa saya sebagai Perdana Menteri pada waktu itu.

Selain itu, tiada mana-mana ahli keluarga saya mempunyai kepentingan dalam IRIS Corporation Berhad samada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham.

Bagaimana saya yang tidak mempunyai bidang kuasa dalam penganugerahan kontrak dan keluarga saya yang tidak ada sebarang kepentingan dalam syarikat yang dianugerahkan kontrak ditohmah menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri dan keluarga?

Saya percaya ini adalah sebahagian daripada siri tohmahan jahat terhadap saya yang dilakukan oleh kerajaan PH-BN pimpinan Anwar Ibrahim. Tohmahan ini sengaja dibuat untuk menutup kepincangan melampau Perdana Menteri dan anggota kerajaannya melantik anak beranak dalam kerajaan termasuk dengan tanggungjawab dan kuasa untuk mengurus kontrak kerajaan. Amalan nepotisme ini tidak boleh ditutup dengan melemparkan tohmahan tidak berasas kepada orang lain.

Nampaknya belum sampai 100 hari memerintah telah banyak kepincangan kerajaan PH-BN yang terserlah. Tiada usaha bersungguh-sungguh untuk membela nasib rakyat. Janji reformasi dan tatakelola yang baik pula hanyalah dusta demi meraih kuasa.

 



Comments
Loading...