100 hari dia hanya pandai bercakap sahaja – Tun M


(Utusan) – Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Kerajaan Perpaduan gagal membawa sebarang perubahan besar kepada rakyat, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap tidak memberi apa-apa kesan pun untuk negara.

“Dia setiap hari ada kenyataan konon hendak buat macam-macam tetapi keadaan kekal seperti itu juga kerana dia cuma pandai bercakap sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Hari ini, genap 100 hari Anwar mengangkat sumpah memegang jawatan ketua kerajaan pada 24 November 2022 lalu selepas tempoh hampir tiga dekad menjadi pembangkang.

Ahli Parlimen Tambun itu menjadi Perdana Menteri bagi menggantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob setelah dititahkan Yang di-Pertuan Agong membentuk Kerajaan Perpaduan susulan situasi Parlimen tergantung apabila tiada mana-mana blok politik memenangi majoriti mudah 112 kerusi semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mengulas lanjut, Mahathir menjelaskan bahawa Anwar hanya bijak mencari sokongan populariti melalui pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu.

“Bajet itu konon terbesar dalam sejarah tetapi rakyat tidak sedar ia bererti kerajaan kena pinjam banyak wang buat hutang sehingga RM1.5 trilion untuk diwarisi rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau tidak nampak apakah pencapaian dan kejayaan yang telah dapat dilakukan Anwar sepanjang 100 hari menerajui negara kecuali sekadar cakap kosong.

Ditanya mengenai tindakan anaknya, Datuk Seri Mukhriz yang juga Presiden Parti Pejuang Tanah Air memohon bagi menyertai Perikatan Nasional, beliau enggan campur isu itu, sebaliknya menganggap negara ini bersifat demokrasi dan beliau pula sudah keluar dari parti tersebut.

 



Comments
Loading...