Kalau betul, tunjuk surat RoS, kata Ismail Sabri
(Berita Harian) – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diminta menunjukkan surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang didakwa menerima resolusi parti supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.
Perkara itu disuarakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berikutan polemik status usul tambahan yang diluluskan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 membabitkan dua jawatan tertinggi parti berkenaan.
“Minta dia (Ahmad Zahid) tunjuk surat RoS itu, elok juga kalau boleh tunjukkan (surat) sebab ada dua laporan media berbeza.
“Satu kata RoS tolak tapi tak sampai satu hari kata dah luluskan pula. Semua orang keliru.
“Saya pun baca laporan media juga,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Malam tadi, Ahmad Zahid memaklumkan UMNO sudah menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengesahkan RoS menerima resolusi parti itu iaitu tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.
Presiden UMNO itu dilaporkan berkata, RoS meluluskan usul PAU 2022 supaya dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun ini.
Katanya, perkembangan terbaru itu diterima menerusi surat daripada KDN semalam.
Bagaimanapun, sebuah portal berita melaporkan RoS yang selesai menjalankan siasatan berhubung aduan diterima daripada dua ahli UMNO, memutuskan usul tambahan terbabit tidak sah.
Portal berita terbabit bagaimanapun tidak memetik mana-mana individu atau sumber.
Pada 20 Januari lalu, dua ahli UMNO menghantar aduan kepada RoS supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan pada PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti kali ini.
Aduan itu dikemukakan ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom, yang berharap ROS dapat menentukan sekiranya wujud pertikaian terhadap usul tambahan yang dibawa pada PAU 2022.
Muhammad Aizat Fikri mendakwa atur cara mengemukakan usul tambahan itu tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.
Ismail Sabri yang juga bekas Perdana Menteri turut menggesa RoS membuat keputusan segera bagi menentukan sama ada keputusan PAU itu sah atau tidak sebelum pemilihan parti pada 18 Mac ini.
Ia bagi memberi laluan kepada ramai calon lain bertanding merebut dua jawatan tertinggi UMNO termasuk mereka yang sudah mengumumkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden jika tindakan UMNO itu menyalahi perlembagaannya.