Sumbangan politik kepada parti kerajaan haram dan kepada parti pembangkang halal
“Katakanlah kamu parti Pejuang. Saya beri sumbangan untuk kempen dan sebagainya, tetapi saya tidak mempunyai sebarang urusan sama ada rasmi atau tidak kerana kamu tidak pernah beri saya sebarang projek. Jadi saya boleh beri dan awak boleh terima. Ini tidak salah.”
(Malaysiakini) – Unsur rasuah apabila parti kerajaan menerima dana atau sumbangan politik tidak sama seperti apabila dana sedemikian disalurkan kepada parti pembangkang, kata sumber SPRM.
Ini kerana pembangkang tidak berada dalam kedudukan untuk menghulurkan apa-apa kepada penyumbang mereka, tidak seperti kerajaan, kata pegawai kanan itu dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.
Pada Jumaat lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin didakwa atas tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta yang disalurkan ke akaun partinya.
Muhyiddin mendakwa dana itu adalah derma politik, dan mencabar SPRM supaya juga memburu PKR dan Umno – parti yang dakwanya juga menerima pembiayaan sedemikian.
Diminta mengulas mengenai perkara itu, pegawai kanan SPRM berkenaan berkata, secara umum, sama ada sesebuah parti itu berkuasa atau tidak adalah pertimbangan utama bagi setiap siasatan.
“Katakanlah kamu parti Pejuang. Saya beri sumbangan untuk kempen dan sebagainya, tetapi saya tidak mempunyai sebarang urusan sama ada rasmi atau tidak kerana kamu tidak pernah beri saya sebarang projek.
“Jadi saya boleh beri dan awak boleh terima. Ini tidak salah.
“Berbanding dengan parti pemerintah yang mempunyai kuasa untuk meluluskan projek, dan kemudian syarikat itu dapat projek dan diminta memberikan peratusan tertentu projek tersebut. Ini berbeza,” kata sumber itu.
PKR adalah dalam pembangkang sebelum pilihan raya umum ke-15, manakala Umno pula membentuk kerajaan, bersama-sama dengan Bersatu dan PAS.
Pembiayaan politik ketika ini tidak dikawal walaupun rang undang-undang telah digubal selama bertahun-tahun, dengan kerajaan terdahulu berikrar untuk membentangkan undang-undang sedemikian.
Dalam perkembangan terkini, kerajaan semasa berkata rang undang-undang itu akan dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen untuk pertimbangan selanjutnya.
Sementara itu, mengenai mengapa hanya penerima didakwa dalam kes berprofil tinggi, seperti Muhyiddin, walaupun Akta SPRM juga menghukum kedua-dua pemberi dan penerima, sumber itu berkata terdapat perbezaan antara kes rasuah dan salah guna kuasa secara langsung.
Dalam kes rasuah, pegawai itu berkata, lazimnya sama ada pemberi atau penerima, atau kedua-dua mereka, akan didakwa di mahkamah.
Bagaimanapun, dalam kes salah guna kuasa, individu yang menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan akan didakwa di mahkamah.
“Baca Seksyen 23 Akta SPRM. Ia mengatakan bahawa apabila seseorang pegawai badan awam menyalahgunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan sama ada untuk faedahnya, atau untuk faedah keluarganya, atau untuk rakan sekutunya, dia telah melakukan kesalahan. ”
Menurut sumber itu, walaupun dalam kes rasuah lazim, pertuduhan biasanya akan dikenakan terhadap penerima, yang dalam kedudukan untuk menekan pihak satu lagi untuk memberi rasuah.
“Biasanya orang yang menerima akan didakwa kerana dia menindas pihak lain untuk memberi wang, sebab itu orang yang menerima sentiasa menjadi tertuduh utama,” kata sumber itu.
Sumber itu menambah bahawa pemberi juga sering menjadi saksi pendakwaan, dan mendakwa mereka akan menyukarkan penyiasat untuk mendapatkan kerjasama.
“Jadi, siapa yang mahu bekerjasama (dengan SPRM) nanti?” soal pegawai kanan itu lagi.