Armada buat laporan polis terhadap Guan Eng dan Anwar Ibrahim
(Warta Rakyat) – BEBERAPA pemimpin Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini memfailkan laporan polis terhadap pengerusi kebangsaan DAP, Lim Guan Eng dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.
Laporan tersebut berkenaan penafian sebelum ini bahawa Lim, ketika menjadi Menteri Kewangan telah membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary.
Bercakap kepada pemberita hari ini, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayshal mendakwa penjelasan Anwar bahawa kuasa pengecualian cukai berada di bawah hak mutlak ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan bukannya menteri atau Perdana Menteri mengikut subseksyen 44(6) Cukai Pendapatan Akta 1967 adalah mengelirukan.
Sebaliknya, Wan Ahmad Fayshal mendakwa bahawa Anwar gagal menyebut subseksyen 44(6) yang membolehkan Lim, yang ketika itu Menteri Kewangan, merayu sebarang keputusan yang dibuat oleh ketua pengarah LHDN, lapor Malaysiakini.
Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menuduh Lim membatalkan status pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary ketika dia menjadi Menteri Kewangan.
Muhyiddin membuat dakwaan selepas bekas Perdana Menteri itu diarahkan hadir ke ibu pejabat SPRM untuk merakamkan kenyataannya dan antara isu yang dibangkitkan agensi anti rasuah itu ialah rayuan terhadap pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.