MAJORITI TERKUMPUL 13-1 TERHADAP NAJIB, DI MANA LAGI TIADA KEADILAN?


Shahbudin Husin

Ramai penyokong Najib Razak terlihat begitu kecewa serta marah-marah terhadap keputusan semakan kehakiman yang mengekalkan sabitan bersalah yang dijatuhi kepada bekas Perdana Menteri itu.

Semakan kehakiman semalam ditolak dengan keputusan majoriti 4-1 dan ini bermakna Najib akan terus berada di Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun yang diterimanya.

Satu-satunya peluang terakhir yang tinggal untuk Najib dibebaskan awal hanyalah melalui pengampunan oleh Yang Dipertuan Agong.

Tetapi, itu pun tentulah ada prosesnya dan tidak mungkin berlaku dalam waktu yang terdekat ini.

Pelbagai kata dan ungkapan diluahkan untuk menggambarkan kekecewaan itu, termasuk oleh mereka yang bergelar pemimpin dalam UMNO.

Selain menjurus kepada dakwaan Najib tidak diberi perbicaraan yang adil, khususnya dalam isu pertukaran peguam dan permohonan menangguhkan perbicaraan yang ditolak di Mahkamah Persekutuan sebelum ini, terdapat kecenderungan untuk mengaitkan penolakan semakin kehakiman semalam dengan keberadaan UMNO dalam kerajaan, khususnya Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sendiri sekarang sudah berjawatan Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Penerangan UMNO, Azalina Othman Said sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang.

Mudah kata, secara kesimpulannya mereka mengharapkan Najib sepatutnya dibebaskan atau semakan kehakiman itu memihak kepadanya berikutan UMNO, Zahid Hamidi dan Azalina kini sudah sama-sama berada di anjung kuasa di Putrajaya.

Lantaran itu, bukan saja ucapan Azalina di Majlis Taklimat Khas Presiden UMNO di WTCKL sebaik Najib dipenjarakan tahun lalu disebarkan semula, turut dipersalahkan kerana Ketua Hakim Negara tidak ditukar dalam keadaan parti itu merupakan komponen penting dalam kerajaan ketika ini.

Maka itu, terpacullah antaranya ungkapan – Kita Suruh Tukar Ketua Hakim Negara, Bukan Tukar Ketua Menteri Melaka.

Nampak jelas di sini bahawa sebahagian ahli UMNO dan penyokong Najib mahu bekas Perdana Menteri itu dibebaskan melalui kuasa politik.

Ini adalah suatu pemikiran yang buruk sebenarnya kerana kalau kuasa politik atau pengaruh politik boleh digunakan bagi tujuan tersebut, ia dengan sendirinya akan merosakkan keadilan itu sendiri.

Bukankah kita sepatutnya sedar bahawa tiga cabang utama negara – Legislatif, Eksekutif dan Kehakiman – adalah terpisah dalam doktrin pengasingan kuasa sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan?

Dalam kes Najib, gagal dalam semakan kehakiman atau kekal dipenjarakan bukan bermakna keadilan terhadap beliau telah dinafikan.

Hakim yang membuat keputusan dalam perbicaraan atau mendengar perbicaraan hanya bersandarkan kepada bukti, fakta dan keterangan yang dibentangkan di mahkamah.

Mereka tidak dipengaruhi oleh sebarang unsur luar dan sebab itu hakim mempunyai pergaulan yang terhad serta tidak boleh bersidai di merata tempat untuk bersembang dan bergelak ketawa seperti orang lain.

Sandaran mereka dalam membuat keputusan hanya semata-mata kepada bukti dan keterangan yang ditampilkan.

Atas kesalahan beliau yang telah dibuktikan di mahkamah melalui perbicaraan yang bertahun-tahun lamanya, hukuman yang dijatuhkan adalah semata-mata untuk menegakkan keadilan.

Lagi pula, jika kita teliti dan imbas semula perbicaraan kes SRC International itu sejak di peringkat Mahkamah Tinggi lagi, ruang untuk menegakkan keadilan sudah diberi dengan cukup luas kepada pasukan peguam Najib.

Dan akhirnya daripada Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan dan semakan kehakiman juga di Mahkamah Persekutuan semalam, keputusan terkumpulnya ialah 13-1.

Keputusan itu pula dibuat oleh hakim-hakim yang tergolong dalam kategori manusia yang pandai dan berwibawa belaka sehingga mereka diberi gelaran “Yang Arif”, bukan melalui undian di media sosial.

Kalau dalam bolasepak pun keputusan 13-1 melalui empat perlawanan di padang yang berbeza akan membuatkan orang malu untuk mempertikaikannya, inikan pula keputusan yang sama yang diputuskan oleh mereka “Yang Arif” semuanya.

https://shahbudindotcom.net/2023/04/01/majoriti-terkumpul-13-1-di-mana-lagi-tidak-adilnya-untuk-najib.html

 



Comments
Loading...