Pengampunan Bukan Mudah


A Kadir Jasin

1. Laporan dan bahas mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan pada 31 Mac lalu telah banyak menyimpang seolah-olah Mohd Najib Abdul Razak tidak bersalah.

2. Hakikatnya, bukan tugas panel hakim terbabit untuk memutuskan beliau bersalah atau tidak. Hal itu telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

3. Tugas Mahkamah Persekutuan kali ini adalah untuk membuat penghakiman sama ada membenarkan atau menolak permohonan Mohd Najib agar sabitan beliau dalam kes SRC International dikaji semula.

4. Keputusannya, Mohd Najib gagal apabila empat daripada lima orang hakim yang bersidang menolak permohonan beliau. Dalam bahasa yang mudah, sabitan kes SRC International tidak akan dikaji semula.

5. Yang buat banyak orang keliru adalah apabila hakim yang tidak bersetuju (dissenting), iaitu Abdul Rahman Sebli dilaporkan berkata, “oleh kerana telah berlaku ketidakadilan (injustice) ketika rayuan di Mahkamah Persekutuan maka Mohd Najib perlu dibebas dan dilepas (ought to be acquitted and discharged).

6. Saya tanya seorang peguam kanan adakah itu kehendak rayuan Mohd Najib? Beliau menjawab: “I think he (Abdul Rahman) went a step ahead.” (Saya rasa beliau (Abdul Rahman) telah melangkah setapak terkehadapan).

7. Kalau kita ingat lagi, di saat-saat penutup rayuan kes SRC International di Mahkamah Persekutuan, telah berlaku pertukaran, penarikan diri dan pemecatan peguam yang mewakili Mohd Najib sehingga tidak ada seorang pun yang tampil berhujah merayu bagi pihak beliau. Sebaliknya yang diminta adalah penangguhan.

8. Tiga orang peguam utama yang terlibat adalah Mohamed Shafee Abdullah, Hisyam Teh Poh Teik dan Mohd Zaid Ibrahim. Jadi betullah macam kata Hakim Vernon Ong Lam Kiat, ketika membaca penghakiman bahawa “applicant is the author of his own misfortune.” Maksudnya, Mohd Najib sendiri lah yang bertanggungjawab ke atas bala yang menimpa dirinya.

9. Selepas kegagalan terbaru ini, timbul sekali lagi soal pengampunan diraja. Macam perbicaraan di mahkamah juga, isu pengampunan diraja bukan semudah diuar-uarkan oleh penyokong biasa dan laskar siber. Banyak perkara perlu dipertimbangkan.

10. Jenayah dan kerosakan yang Mohd Najib lakukan adalah terlalu besar dari segi moral, ekonomi dan kebajikan rakyat jelata. Imej negara, bangsa Melayu dan agama Islam tercemar. Berbilion-bilion ringgit duit negara dicuri dan rakyat jelata menanggung beban hutang lebih RM50 bilion.

11. Adakah semudah itu bagi sesiapa pun mengharapkan institusi raja mengampuni seorang pemimpin yang telah mengkhianati amanah rakyat jelata semata-mata kerana tamakkan kuasa dan harta dunia? Nauzubillah min zalik.

Sekian. Terima kasih.

 



Comments
Loading...