Ampunkan Najib: Apa kehendak 27 juta lagi rakyat Malaysia, tanya Kadir


A Kadir Jasin, Malaysiakini

Jika Umno memohon pengampunan diraja buat bekas presiden mereka atas dasar simpati, kata A Kadir Jasin, adakah parti itu tidak memikirkan hal berkaitan lain semasa membuat ketetapan tersebut.

Kata Tokoh Wartawan Negara itu, Umno juga tidak patut berhujah dengan menggunakan nama parti semasa mengharapkan Najib Razak dibebaskan dari penjara.

“Presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi) kata pengampunan yang mereka minta adalah atas dasar simpati kepada Najib.

“Kalau Umno simpati kepada Mohd Najib, tidaklah ia bersimpati kepada semua rakyat jelata yang kena tanggung dan bayar balik lebih RM50 bilion hutang 1MDB?” katanya hari ini menerusi catatan di media sosial.

Semalam Malaysiakini melaporkan bahawa Umno akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pengampunan penuh kepada Najib.

Kata Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berdasarkan Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan Agong mempunyai kuasa untuk memberi pengampunan penuh kepada Najib berdasarkan ihsan baginda.

“Majlis Kerja Tertinggi Umno sebulat suara bersetuju untuk memohon menghadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Agong bersama memorandum yang ditandatangani seluruh kepimpinan Umno dari 191 bahagian termasuk Wanita dan sayap-sayap Pemuda dan Puteri Umno,” katanya.

Berdasarkan satu penghakiman

Najib kini ditahan di penjara selepas disabitkan bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Dia didapati bersalah pada 28 Julai 2020 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Najib juga didenda RM210 juta.

Usaha mendapatkan pembebasan melalui laluan mahkamah sudah berakhir bagi kes berkenaan.

Pada masa sama Najib masih dibicarakan bagi kes lain yang melibatkan syarikat pelaburan negara, 1MDB.

Kata A Kadir tidak semua orang mahu Najib diampunkan, dan bukan Umno saja berhak ke atas raja-raja Melayu.

Di pihak Umno sendiri, tambahnya, jika diandaikan memang semua ahli parti terbabit – yang didakwa berjumlah tiga juta orang – mahu Najib diberi pengampunan, ada aspek lain yang perlu diambil kira.

“Katakanlah Umno ada tiga juta ahli dan semua mahu Najib diampunkan, tetapi apa hal dengan 27 juta lagi warganegara Malaysia?

“Adakah mereka (rakyat lain) pun mahu Najib diampunkan?” katanya.

A Kadir juga meragui Umno mampu mempengaruhi Agong dengan bersandarkan kepada penghakiman seorang hakim berbanding 13 hakim lain yang berpuas hati bahawa Najib melakukan kesalahan berkenaan.

“Saya tanya seorang sahabat yang juga peguam kanan, adakah tindakan Umno itu seolah-olah hendak menjadikan institusi raja sebagai fait accompli dalam perbuatan Najib?

“Beliau (peguam) menjawab: Saya bimbang itulah yang akan jadi naratif, sama ada persepsi atau realiti. Harap sangat pihak istana berhati-hati,” tulisnya.

Secara umum, fait accompli boleh difahami sebagai sesuatu yang sudah ditetapkan dan diputuskan lebih awal sebelum pihak lain mendengarnya dan menjadikan tiada pilihan boleh dibuat kecuali menerimanya.

 



Comments
Loading...