Isu permohonan pengampunan ke atas Najib bukan pendirian kerajaan – Loke


(Berita Harian) – Isu permohonan pengampunan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bukan pendirian kerajaan sebaliknya pendirian UMNO sebagai parti politik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata isu terbabit juga tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Isu pengampunan pun tidak pernah dibincangkan dalam Kabinet dan ia bukan pendirian kerajaan. Sebab itu kita kena bezakan kerana isu itu adalah pendirian UMNO sebagai parti politik, bukan pendirian kerajaan.

“Untuk adil kepada menteri UMNO, ia tak pernah dibawa ke Kabinet, jadi ia bukan pendirian Kabinet, ia pendirian parti,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini membuat ketetapan memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong bagi mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Najib.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan berkata, ia sebagaimana kuasa diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Loke berkata, sesiapa sahaja yang selepas disabitkan kesalahan, boleh memohon untuk mendapatkan pengampunan mengikut proses ditetapkan.

“Itu adalah proses biasa dan prosesnya adil kepada semua pihak, sesiapa sahaja boleh memohon pengampunan namun sama ada ia dibenarkan atau sebaliknya, itu terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Kita menaruh kepercayaan kepada proses terbabit dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan terbaik,” katanya.

 



Comments
Loading...