Umno hanya penumpang dalam kerajaan, kata Mohamad Hasan


Timbalan presiden Umno memberi amaran kepada parti itu agar tidak bertindak seolah-olah ia masih memerintah negara ini.

(Malaysia Now) – Keberadaan Umno di dalam kerajaan hanyalah seperti menumpang kasih dan sekiranya parti itu menarik sokongan ia tidak akan memberi sebarang kesan, kata timbalan presidennya, Mohamad Hasan.

Beliau yang juga menteri pertahanan mengingatkan ahli Umno supaya sedar diri dan tidak berkelakuan seperti ketika parti itu memerintah negara ini dulu.

Katanya, ini terutamanya selepas parti Melayu itu mencatatkan prestasi mengecewakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung pada November tahun lepas apabila hanya mampu memperoleh 26 kerusi Parlimen.

Ia merupakan prestasi terburuk yang pernah dicatatkan parti itu sejak penubuhannya.

“Kita ini dalam kerajaan menumpang kasih saja.

“Kalau kita keluar esok pagi pun dengan 30 kerusi, kerajaan takkan tumbang,” katanya dalam satu wawancara bersama Umno Online baru-baru ini.

“Sebab kerajaan ada 148 (kerusi). Tak tumbang, jadi jangan acah-acah. Orang tidak takut. Jadi berperangai elok-elok.”

Baru-baru ini, bekas naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob menyifatkan keberadaan parti Melayu itu dalam kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim sebagai “kahwin paksa”.

Katanya, keretakan dalam gabungan antara Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) itu sudah boleh dilihat apabila sekurang-kurangnya dua pemimpin kanan Umno Johor menegur beberapa pemimpin DAP dan PKR kerana melontarkan komen yang dianggap sebagai menghina parti Melayu itu.

“Setakat ini, baru permulaan. Kita tengoklah. Saya tak mahu komen lebih.

“Tapi dah ada dah, DAP komen tentang Umno, Umno komen tentang DAP,” kata bekas perdana menteri itu.

Sementara itu, Mohamad yang juga ahli Parlimen Rembau turut mengingatkan ahli partinya supaya tidak berlagak seperti menang pilihan raya dan mula memperbaiki imej Umno yang mula mencatatkan trend penurunan sokongan sejak PRU11 pada 2004.

“Kadang-kadang kita lupa, kita berlagak macam kita menang. Kita tidak berubah mengambil sikap orang kalah.

“Jangan cerita mengenai hala tuju. Bila orang dah lemas mana ada hala tuju. Hala tuju dia (Umno) adalah untuk hidup,” katanya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...