Selangor kaya, rakyat susah
(Harakah) – Tidak syak lagi Selangor sebuah negeri yang kaya dan paling maju di Malaysia.
Setakat penghujung November 2022 ia merekodkan hasil sebanyak RM2.304 bilion. Satu angka yang besar berkat limpahan rezeki dari Allah S.W.T.
Di Selangor ada KLIA, Pelabuhan Klang, Lapangan Terbang Subang, Cyberjaya dan sistem pengangkutan awam tercanggih termasuklah LRT, MRT, KTM Komuter dan lebuhraya-lebuhraya terbesar.
Tetapi rakyat Selangor tidaklah segah negerinya. Mereka yang tidak berharta, tidak punya rumah sendiri masih ramai khasnya di kalangan Melayu.
Anak Selangor tiada rumah tiada tanah sendiri walau sekangkang kera.
1.2 peratus rakyatnya jatuh bawah paras kemiskinan mutlak. Selangor punya 5.7juta penduduk ini bermakna 68,400 rakyatnya miskin mutlak!
Kemiskinan bukan hanya di luar bandar tapi juga bandar. Malah paling ketara di bandar.
Di beberapa kawasan di Petaling Jaya, Gombak, Ampang, Pandan, Sg Buloh, Klang, Shah Alam, Selayang terutama penempatan penduduk Melayu yang B40 keadaannya cukup memilukan, tidak terurus.
Dibina rapat-rapat dengan jalan (bayangkan jika berlaku kebakaran), perparitan cukup dhaif. Pengurusan sisa pepejalnya juga cukup lemah termasuk di kawasan Menteri Besar.
Sekolah-sekolah Kebangsaan, Sekolah Agama terperosok di celah-celah penempatan ini juga tidak terurus.
Tidak sebagaimana SJKC yang teguh gagah, tinggi bangunannya, bilik darjah berhawa dingin. Itupun kerajaan mahu suntik wang bantuan lagi.
Bukannya rasis tetapi itulah realitinya di Selangor. Siapa yang mewah, siapa yang kaya senang sebenarnya?
Program merakyatkan ekonomi Selangor yang diperkenal Allahyarham Tan Sri Khalid dulu ditukar, dipinda, dikurangkan ada yang dihapus, menjadikan negerinya kaya tetapi rakyat di bawah tidak merasa
Air percuma pun cuma sampai ke 50 peratus rakyat yang layak, selebihnya tidak merasai kerana pengurusan kerajaan negeri yang lemah.
Bila hujan lebat sedikit air naik hingga musnah harta rakyat, bila sumber air tercemar kerana kilang haram yang berleluasa bekalan air diputuskan, yang merana rakyat B40 yang tinggal di perumahan PPRT yang bertingkat-tingkat mencecah awan, bukannya tauke di banglo dan semi D yang punya tangki simpanan ‘spare‘ dan pelbagai kemudahan.
Kerajaan PH ini entah apa keutamaannya. Denyut nadi rakyat seakan tidak dirasai, tidak didengari. Yang kaya mewah adalah tauke pemaju dan tauke kilang walaupun berstatus haram.
Kembalikanlah kerajaan negeri diurus oleh anak tempatan, anak Selangor yang tahu masalah dan kesusahan rakyat Selangor.
Yang ada kini anak Johor, anak Perlis, anak Kedah. Tukarlah.
Pilih dan angkatlah mereka yang berwibawa, yang kompeten, yang bersih lagi bertaqwa. Yang tinggal dan membesar dalam rumpun keluarga anak Selangor sebenar.
Selangor perlukan pemimpin jujur yang berjiwa rakyat. Untuk itu rakyat Selangor perlu bangkit buat perubahan.
Demi Selangor yang bersih dan stabil. Kita bangkit buat perubahan.
ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha
Badan Perhubungan PAS