Amanah kekal pendirian bantah pengampunan Najib, mahu pendirian parti dihormati – Khalid


(Utusan TV) – Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, tiada keperluan untuk Amanah menarik balik kenyataan mahupun mengemukakan permohonan maaf berhubung kenyataan mereka agar Yang Dipertuan Agong tidak memberikan pengampunan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tak perlu (mohon maaf dan tarik balik kenyataan). Itu adalah pendirian Amanah (tidak setuju pengampunan kepada Najib) dan bukan pendirian peribadi saya,” katanya.

Khalid mengulas kenyataan UMNO Kelantan yang sedia pertimbang untuk mengambil tindakan memutuskan hubungan dengan Amanah di negeri itu jika beliau tidak menarik balik bantahan mengenai pengampunan bekas Perdana Menteri tersebut.

Memetik laporan FMT, Khalid berharap hubungan parti itu di Kelantan dengan UMNO tidak terputus susulan isu pengampunan diraja terhadap Najib Raza dan meminta mereka menghormati pendirian berbeza Amanah mengenai perkara tersebut.

“Harap-harap tak begitu (putus hubungan) dan mereka hormati hak kita untuk berpendirian berbeza. Kita hormati hak mereka untuk memohon pengampunan dan tidak membantah tindakan mereka memohon (pengampunan).

“Begitu juga kita yakin mereka akan utamakan perjuangan kita bersama untuk menentang ekstremisme agama dan kaum,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, penentangan terhadap ekstrimisme agama dan kaum perlu dijadikan keutamaan.

Semalam, Khalid berkata, pihaknya merayu supaya permohonan pengampunan terhadap bekas presiden Umno itu ditolak.

Khalid yang juga bekas menteri Wilayah Persekutuan berpandangan, pengampunan untuk Najib akan menghantar mesej sangat tidak baik kepada rakyat, sistem keadilan negara dan juga seluruh dunia berhubung sikap serta pendirian terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

Hari ini, membalas kenyataan Khalid, Umno Kelantan pertimbang memutuskan kerjasama dengan Amanah negeri itu jika Khalid tidak menarik balik kenyataannya berhubung bantahan terhadap permohonan pengampunan Najib.

Ketua Penerangan Umno Kelantan, Zawawi Othman berkata, rayuan pengampunan dibuat terhadap Najib adalah keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

 



Comments
Loading...