Kit Siang hulur salam perdamaian buat Hadi


(Malaysiakini) – Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mencadangkan agar kerajaan perpaduan bekerjasama dengan PAS menjelang pilihan raya negeri akan datang.

Bagaimanapun, Lim berkata kerajaan perpaduan hanya perlu berbuat demikian dengan dua syarat – pertama, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menghentikan permusuhan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan mesti membuktikan keikhlasannya.

Lim membuat gesaan itu dalam menyokong titah Yang di-Pertuan Agong bahawa Malaysia memerlukan kestabilan politik dan kejayaan konvensyen kerajaan perpaduan semalam.

Kedua, Lim berkata sekiranya Hadi mengaku ada melemparkan beberapa dakwaan tidak berasas terhadap DAP dan berjanji tidak akan mengulanginya, maka PAS perlu dijemput menyertai kerajaan perpaduan.

Antara lain, Lim berkata Hadi pernah membuat beberapa dakwaan liar termasuk melabelkan masyarakat bukan Islam sebagai “perompak” yang terlibat dalam rasuah dan penipuan dengan menjadikan orang Melayu sebagai mangsa.

Lim juga memetik dakwaan Hadi bahawa DAP mengumpan orang Melayu “jahil” untuk dijadikan sebagai “boneka” parti itu.

“Sekiranya Hadi boleh menjadi seorang pemimpin Islam yang jujur, bertanggungjawab, dan dihormati dan dia bersedia untuk mengakui kesilapannya dalam membuat tuduhan liar dan tidak masuk akal ini… saya tidak nampak apa-apa sebab mengapa PAS tidak boleh dijemput untuk menyertai kerajaan perpaduan.

“Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong bertitah dengan tepat – Malaysia memerlukan kestabilan politik untuk menjadi sebuah negara progresif, makmur, dan dihormati dunia.

“Tetapi adakah Hadi akan menuruti titah ini demi kepentingan negara atau terus mengejar kepentingan peribadinya?“ soal Lim.

Kenyataan Lim dibuat ketika Anwar juga menghulurkan salam perdamaian kepada PAS menerusi ahli jawatankuasa pusat PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Dalam pertemuan dengan Nik Abduh pada Jumaat lalu, Anwar didakwa memaklumkan hasratnya untuk menjalin semula hubungan baik dengan pemimpin PAS termasuk Hadi.

 



Comments
Loading...