‘Penghakiman penggunaan Allah ke atas Herald, Jill Ireland tidak sama’


(Malaysiakini) – Keputusan kerajaan semalam untuk menarik balik rayuannya terhadap penghakiman yang membenarkan Jill Ireland – seorang penduduk Sarawak bukan Islam – menggunakan kalimah Allah, telah mencetuskan persoalan mengenai implikasi undang-undang.

Antara persoalan itu adalah sama ada keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada penduduk Kristian Melanau itu bercanggah dengan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang menghalang penerbitan mingguan Katolik, The Herald daripada menggunakan perkataan “Allah”.

Mengambil kira perkara ini, bekas presiden Badan Peguam Malaysia Salim Bashir memberitahu Malaysiakini bahawa walaupun kedua-dua penghakiman itu seolah-olah seakan mempunyai persamaan, namun sebenarnya terdapat perbezaan.

Salim berkata keputusan Mahkamah Rayuan lebih mengkhusus mengenai penggunaan kalimah Allah dalam kes The Herald, manakala keputusan kes Ireland pula adalah mengenai penggunaan perkataan itu untuk penerbitan pembelajaran dan pengajaran agama.

Justeru, dia berpendapat bahawa keputusan kerajaan untuk menarik balik rayuan terhadap keputusan kes Ireland, memperkukuh hak masyarakat Kristian untuk menggunakan kalimah “Allah” dalam penerbitan pendidikan agama.

Ini, katanya, keputusan Mahkamah Tinggi 2021 telah menunjukkan bahawa masyarakat berkenaan telah menggunakan perkataan Arab tersebut merujuk kepada Tuhan untuk tujuan pengajaran selama lebih 400 tahun.

“Selaras keputusan kerajaan untuk menarik balik rayuan itu, kini akan diulangi bahawa arahan yang dikeluarkan melalui pekeliling KDN oleh bahagian kawalan penerbitan yang mengharamkan perkataan Allah dalam semua penerbitan Kristian di Malaysia adalah menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan.

“Masih belum dapat dilihat jika undang-undang yang ditetapkan sekarang berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini, akan memberi kesan kepada undang-undang Syariah negeri mengenai isu ini,” tambah Salim.

Peguam veteran Syed Iskandar Syed Jaafar berkongsi pandangan yang sama dan menyokong keputusan kerajaan untuk menarik balik rayuan dalam kes Ireland.

Katanya, rakyat Malaysia harus saling menghormati kepercayaan satu sama lain dan tidak menuntut hak eksklusif terhadap penggunaan kalimah Allah kerana penganut Kristian tertentu masih menggunakannya dalam amalan agama mereka.

“Sabah dan Sarawak telah menunjukkan contoh dalam isu ini kerana ia bukan isu di sana, dengan semua orang menggunakannya secara bebas, dan begitu juga di peringkat antarabangsa,” kata Syed Iskandar.

Satu lagi contoh kewujudan bersama secara aman yang dipetiknya ialah bagaimana masyarakat Islam dan Kristian di UK menggunakan gereja Universiti Birmingham.

“Setiap Jumaat, kira-kira 2,000 umat Islam menunaikan solat Jumaat mereka di gereja Universiti Birmingham,” kata Syed Iskandar.

Pada 15 Mei lalu, kerajaan menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Ireland menggunakan kalimah “Allah” untuk tujuan agama dan pendidikan.

Tindakan itu mengundang bidasan daripada pelbagai pihak, dengan Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan menuntut kerajaan mendedahkan jika keputusan itu ada dirundingkan bersama majlis-majlis agama negeri Wilayah Persekutuan, Selangor dan Kedah sebelum menarik balik rayuan itu.

 



Comments
Loading...