Umno akui sukar untuk pujuk ahli terima DAP, kata Zahid


Presiden Umno berkata, pihaknya bersedia untuk bertemu dan menyantuni kumpulan berkenaan bagi memberi penerangan berkait dengan kerjasama antara Umno dan DAP.

(FMT) – Umno akui sukar untuk parti itu ‘memujuk’ ahli menerima kehadiran DAP sebagai rakan sekutu yang membentuk kerjasama dalam kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Anwar Ibrahim, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata, pihaknya bersedia untuk bertemu dan menyantuni kumpulan berkenaan bagi memberi penerangan berkait dengan kerjasama antara Umno dengan parti berkenaan.

Katanya, perspektif negatif dan bersifat kebencian yang ditanam oleh kepimpinan terdahulu sukar untuk dikikis.

“Dulu pengundi Barisan Nasional (BN) memberi sokongan kepada calon MCA dan MIC. Untuk itu, kita akan gunakan kaedah yang sama bukan atas nama parti, tetapi atas rasa kebersamaan dalam kerajaan perpaduan.

“Lebih dua dekad kebencian penyokong terhadap sesuatu kumpulan telah ditanam dan tempoh itu bukan mudah untuk dirungkaikan,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Mesra Aidilfitri Felcra Berhad di Pekarangan Maahad Tahfiz Yaakubiah, Bukit Tui, di Machang Kelantan.

Semalam ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Ahmad Maslan dilaporkan berkata, ahli parti itu perlu melihat calon DAP dalam pilihan raya negeri akan datang sebagai mewakili kerajaan perpaduan, bukan parti itu sendiri.

“memanglah undi itu rahsia tetapi gesaan saya bukan (undi) atas nama parti atau DAP, tapi atas nama kerajaan perpaduan,” katanya.

 



Comments
Loading...