‘Lupakan poster boy, menangkan dahulu parti dalam PRN’ – Ahmad Zahid


(Berita Harian) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengingatkan kepemimpinan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk memberi tumpuan pada usaha membawa kemenangan kepada parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) daripada memikirkan soal ‘poster boy’.

Beliau, yang juga Pengerusi BN, berkata setiap pemimpin parti perlu memberi komitmen penuh seiring dengan formula terbaik berdasarkan pengalaman dan kepakaran masing-masing untuk menawan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN), termasuk Kedah.

“Lupakan soal ‘poster boy’. Fikirkan untuk menang dahulu, seperti di Kedah dapatkan 19 kerusi dahulu. Apabila sudah menang baru fikir soal poster boy. Itu bukan hak kita untuk tentukan tetapi hak Sultan.

“Atas dasar itulah saya yakin dalam kalangan parti, termasuk di Kedah, ketepikan perbezaan, kena ketepikan perbalahan dan komited untuk menang,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Negeri 2023 Majlis Pimpinan Perpaduan Kedah, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO berkata, kedua-dua gabungan itu perlu menggunakan titik kebersamaan dan berhenti bernostalgia demi mengukuhkan parti ketika menghadapi PRN kelak.

“Dulu lawan tetap lawan, sekarang lawan jadi kawan. Cukuplah kita terus bernostalgia dan berada di titik perbezaan, sekarang kita mahu cari titik persamaan.

“Kenapa parti Islam berkawan dengan DAP, musuh UMNO (BN)? Itu cerita dahulu. Kalau dahulu orang UMNO boleh bersama MIC, MCA dan Gerakan, itu hakikat parti bukan sahaja mewakili kaum tertentu. Seperti juga DAP, ada ahli daripada orang Melayu. Kita terima sahabat kita dengan semangat ke’Malaysia’an,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, semua calon yang dipilih gabungan itu perlu bekerja keras di semua peringkat, termasuk dalam kalangan ahli mahupun bukan ahli, dalam usaha menawan pengundi.

“Duit jangan risau. Tetapi segala-galanya bukan berkaitan duit. Dahulu, masa Pilihan Raya Umum (PRU), UMNO ada duit tetapi ke laut juga. Ini berkaitan semangat bersama iaitu bagaimana kita mahu menyantuni rakyat, pengundi walaupun bukan ahli parti kita.

“Itu faktor kejayaan. Ini (PRN) adalah peluang terbaik kerana peluang ini tidak akan datang lagi,” katanya.

Menyentuh mengenai konteks politik Kedah, Ahmad Zahid berkata, Kedah memerlukan pemimpin terutama Menteri Besar yang berpengalaman dan pakar dalam selok-belok pentadbiran negeri, termasuk membangunkan negeri itu.

“Soalnya, kita jangan mempolitikkan masalah rakyat, tetapi selesaikan masalah rakyat. Lakukan komitmen, bukan hanya pandai buat lawak jenaka dan jadi penglipur lara. Kita kena belajar daripada UMNO, BN, malah PKR, DAP dan AMANAH. Kongsilah ilmu dan ketepikan perbezaan itu,” katanya.

 



Comments
Loading...