Umno Kedah sudah hilang 40% sokongan akar umbi, kata sumber dalaman


Sumber Umno berkata ahli parti itu sendiri telah menarik balik sokongan selepas Zahid Hamidi menyingkirkan beberapa ‘panglima perang’ parti.

(FMT) – Seorang pemimpin Umno bahagian di Kedah mendakwa parti itu berdepan dengan kehancuran dalam PRN yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan, sumber mendakwa sokongan daripada ahli Umno telah menurun dengan ketara selepas presiden parti Zahid Hamidi menyingkirkan ‘panglima perang’ Umno sebelum PRU November lalu.

“Kita dapat lihat 40% ahli Umno tidak lagi mengundi kita. Jika dilihat di Kuala Kedah misalnya, kita mempunyai kira-kira 21,000 ahli di kawasan itu. Pada pilihan raya lalu, Mashitah Ibrahim hanya menerima 9,000 undi daripada ahli parti.

“Kami percaya 12,000 lagi undi diberikan kepada calon Perikatan Nasional, Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi daripada PAS,” kata sumber itu lagi.

Beliau mendakwa perubahan sentimen akar umbi berlaku apabila Zahid memutuskan untuk bertanding semula selepas menghalang ‘panglima perang’ parti seperti Shahidan Kassim, Annuar Musa dan Tajuddin Abdul Rahman daripada bertanding dalam pilihan raya umum.

Sumber itu berkata ramai ahli akar umbi, terutamanya orang muda, gembira kerana pemimpin veteran tidak dapat bertanding.

Bagaimanapun, mereka kecewa apabila Zahid mengumumkan pencalonannya, melihatnya sebagai satu hipokrasi memandangkan beliau berdepan tuduhan rasuah.

Keadaan menjadi lebih buruk bagi Umno selepas ‘pembersihan’ kedua dibuat Zahid, di mana pemimpin seperti Hishammuddin Hussein dan Shahril Hamdan digantung sementara Khairy Jamaluddin dan Annuar Musa dipecat.

Beliau mendakwa sokongan pengundi di semua kawasan majoriti Melayu telah beralih kepada PN kerana muslihat pemimpin tertinggi Umno.

Umno dan Barisan Nasional disingkirkan di Kedah pada PRU 2022, selepas gagal memenangi sebarang kerusi; Pakatan Harapan pula berjaya menang satu kerusi iaitu Sungai Petani daripada 15 kerusi yang dipertandingkan.

Pada pilihan raya 2018, Umno hanya memenangi dua kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN di Kedah, berbanding 18 kerusi oleh PH dan 15 dimenangi PAS.

Penentangan terhadap PN hanya di kawasan bukan Melayu

Seorang pemimpin kanan PAS berkata PN boleh dijangka menghadapi pertarungan sengit hanya di kawasan yang mempunyai 35% hingga 40% pengundi bukan Melayu, khususnya di Alor Setar dan Sungai Petani.

“Pada pilihan raya lalu (pada 2018), kita tahu bahawa kita akan menghadapi masalah jika masyarakat Cina membentuk 20% daripada pengundi. Ketika itu kita kalah kerana pertembungan tiga penjuru antara PAS, Bersatu dan Umno.

“Kali ini, kita bersatu dengan Bersatu dan tidak akan bertanding sesama sendiri. Kami lebih yakin untuk menumbangkan Umno dan PH dalam satu lawan satu,” katanya.

Berdasarkan daftar pemilih 2018, PN akan menghadapi pertandingan sengit di Derga, Suka Menanti, Kota Darul Aman, Gurun, Bukit Selambau, Bakar Arang, Sidam, Lunas dan Kulim – hanya sembilan kawasan daripada 36 kerusi DUN.

 



Comments
Loading...