PAU: Kesabaran akar umbi mengenai situasi Najib, DAP makin tipis
Pemimpin akar umbi juga mengadu bahawa parti itu tidak mempunyai strategi yang jelas untuk menghadapi PRN di enam negeri akan datang.
(FMT) – Keputusan pemilihan parti yang diadakan pada Mac mungkin membayangkan bahawa presiden Umno Zahid Hamidi mempunyai cengkaman kukuh terhadap parti itu, tetapi tiga bulan kemudian, persoalan timbul mengenai berapa lama beliau boleh bertahan.
Perhimpunan agung tahunan Umno selama empat hari berakhir hari ini, yang pertama sejak Barisan Nasional (BN) membersihkan barisannya daripada “unsur yang boleh menghalang hala tuju parti”, khususnya apabila Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dikuasai oleh mereka yang bersekutu dengan Zahid.
Bagaimanapun, perhimpunan agung itu nampaknya tidak menggambarkan perkara ini, dengan sumber parti mengatakan kesabaran akar umbi terhadap Zahid semakin tipis.
“Ramai yang kecewa dengan situasi di mengenai ‘Bossku’,” kata seorang pemimpin akar umbi kepada FMT, merujuk kepada nama samaran popular yang diberikan kepada bekas perdana menteri Najib Razak.
“Mereka merasakan kerajaan tidak melakukan secukupnya untuk membantunya.”
Pemimpin itu, yang enggan namanya didedahkan, berkata sentimen umum dalam Umno ialah Najib telah dinafikan perbicaraan adil dalam kes SRC International, yang berakhir dengan sabitan dan penjara.
Semalam, perwakilan parti di Dewan Merdeka melaungkan “Bebas Bossku” dan “Hidup Bossku” ketika Zahid menggulung ucapan pembukaannya. Terdahulu, ramai yang mengangkat poster dengan mesej “Keadilan untuk Najib Razak” ketika Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang hadir sebagai tetamu, memasuki bangunan itu.
Turut kelihatan pada perhimpunan itu ialah poster yang disifatkan sebagai “provokatif” yang menuduh Zahid serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi) Azalina Othman Said memungkiri “janji” dibuat kepada parti berhubung isu Najib.
“Ia bukan hanya mengenai Najib. Ramai di peringkat bawahan percaya beliau bercakap perkara yang salah dan tidak mempunyai strategi yang jelas. Ambil contoh tuntutan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh agar DAP memohon maaf atas perkara buruk yang diperkatakan oleh pemimpinnya selama ini,” kata sumber itu.
“Betul atau salah, itulah sentimen akar umbi. Mereka mahu DAP meminta maaf tetapi Zahid telah memperkecilkan keperluan untuk itu.”
Sementara itu, sumber berasingan mendakwa walaupun Zahid hadir untuk perbahasan Pemuda Umno, beberapa perwakilan sayap itu tidak mengendahkan tradisi parti untuk berdiri menyambutnya.
“Malah sambutan terhadap ucapan Zahid semalam adalah suam-suam kuku – sehingga beliau bercakap mengenai Najib. Ucapan itu sendiri mempunyai terlalu banyak pujian kepada perdana menteri dan tidak menangani isu politik utama yang akan dihadapi parti dalam PRN akan datang,” kata ketua Pemuda Umno itu yang enggan namanya disiarkan.
Sumber itu berkata kebimbangannya ialah walaupun Zahid mengawal kepimpinan, tetapi beliau mungkin belum cukup mengemudi akar umbi sepenuhnya dalam mengubah nasib parti apabila hanya menang 26 kerusi pada PRU yang lalu.