PRN: UMNO jadi penumpang di Selangor
(Utusan Malaysia) – Agihan kerusi yang sedikit diperuntukan oleh Pakatan Harapan (PH) kepada UMNO di Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi memberi isyarat parti itu sekadar menjadi penumpang.
Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, keputusan itu meranapkan segala usaha yang sudah digerakan oleh beliau bersama rakan-rakan semasa diberi mandat sebagai ketua sebelum ini untuk memastikan Barisan Nasional (BN) kembali menjadi dominan.
Menurutnya, situasi itu tidak ubah sebagaimana di peringkat persekutuan yang menyaksikan UMNO dan BN sekadar menjadi penumpang dalam blok Kerajaan Perpaduan.
“Selama ini kita berusaha untuk mengembalikan kuasa BN di Selangor tetapi kalau setakat dapat kerusi sedikit…yang menang adalah PH dan BN jadi penumpang sahajalah.
“Saya percaya ramai ketua-ketua bahagian bekerja keras siang dan malam tetapi akhirnya terpaksa beri kerusi kepada orang lain,” katanya kepada pemberita selepas program Sembang Santai Bersama Tan Sri Noh Omar sempena Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi.
Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu memberitahu, UMNO dan BN tidak perlu menumpang orang jika betul-betul mahu kembali menjadi parti dominan di Selangor.
Katanya, parti tersebut juga tidak perlu takut untuk bertembung dengan parti-parti lain yang membentuk Kerajaan Perpaduan pada PRN nanti kerana mereka pernah melalui situasi itu semasa bersama Pas di dalam Muafakat Nasional (MN) suatu ketika dahulu.
“Kalau semasa bersama-sama MN dahulu BN tidak takut bertembung Pas pada PRN Melaka dan Johor, kenapa perlu takut untuk bertembung PH pada PRN kali ini? Jadi biarlah macam dahulu kalau mahu pulihkan balik imej UMNO dan BN.
“Kalau BN dapat sedikit kerusi di Selangor pada PRN kali ini, selaku bekas pemimpin UMNO saya rasa ia adalah satu perkara yang menjatuhkan maruah parti tertua negara itu,” ujarnya.
Noh berkata, PN perlu dijadikan payung baharu untuk memperjuangkan Melayu dan Islam di negara ini pada masa hadapan.
Katanya, hal ini kerana Pas memperjuangkan Islam manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memperjuangkan Melayu.
“Melayu dan Islam berpisah tiada,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, BN dijangka bertanding sekurang-kurangnya 14 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN di Selangor.