BN Selangor tidak terbabit Jelajah Mega Madani Selangor malam ini
(Berita Harian) – Barisan Nasional (BN) Selangor tidak terbabit dalam Jelajah Mega Madani Selangor yang diadakan Pakatan Harapan (PH) malam ini.
Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin, ketika mengesahkan langkah itu, menegaskan tiada pelancaran jentera pilihan raya BN bersama PH seperti yang dilaporkan pada program itu.
Katanya, BN memang tidak terbabit dengan program PH itu dan perancangan program itu dilakukan secara dalaman parti berkenaan..
“Saya diberitahu Jelajah Mega Madani itu adalah program anjuran PH membabitkan ceramah politik dan pelaksanaannya di bawah sekretariat PH, jadi BN memang tidak terbabit.
Majlis pelancaran jentera pilihan raya bersama PH akan diadakan di lain masa yang belum kita bincangkan lagi. Ini program PH tetapi kita ada wakil yang dijemput.
“Namun, saya sahkan malam ini, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO memang tidak hadir, saya juga tidak hadir tetapi ada wakil hadir sebagai jemputan,” katanya kepada BH.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi PH, Jelajah Mega Madani Selangor bakal menampilkan pimpinan utama PH dan BN yang akan bekerjasama pada PRN.
Selain Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid, pemimpin lain antaranya Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook dan Ketua PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Mengikut aturcara dikeluarkan penganjur, jelajah itu akan dimulai dengan pelancaran jentera pilihan raya PH dan BN.
Megat Zulkarnain berkata, selain pelancaran jentera pilihan raya , BN dan PH juga sedang merancang untuk mengadakan Konvensyen Pilihan Raya Negeri (PRN) bersama, namun belum ada maklumat lanjut mengenainya.
Beliau berkata, apabila ada tarikh dan maklumat lanjut perkara itu akan dimaklumkan dan pada masa ini belum ada sebarang perkembangan mengenainya
Sementara itu, seperti dilaporkan FMT, Timbalan Ketua UMNO Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, Ahmad Zahid tidak akan hadir ke program Jelajah Mega Madani yang turut dihadiri Anwar.
Katanya, keputusan itu dibuat kerana pihaknya tidak dipanggil berbincang oleh PH berhubung penganjuran program terbabit.
“Saya tak boleh cakap boikot, tetapi jemput itu macam tak penting. Cuma secara “RSVP” (pengesahan kehadiran)…jadi kita beritahu tak datang. Ini (Jelajah Mega Madani Selangor) jelajah mereka, biar mereka jalan dulu,” katanya.
Difahamkan PH-BN masih belum memuktamadkan pembahagian kerusi bagi PRN membabitkan sekurang-kurangnya tiga kerusi.
Semalam, Amirudin berkata, keputusan muktamad akan dibuat Anwar dan Ahmad Zahid Hamidi yang mana gabungan dua parti itu masih ada masa mencukupi untuk memuktamadkan calon dan pembahagian kerusi dalam PRN Selangor.
Antara kerusi yang menjadi pertikaian adalah Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, Meru dan Kuang.
DUN Kuang kini disandang calon dari BERSATU, Sallehudin Amiruddin yang mana sebelum ini menjadi kerusi disandang calon BN, manakala DUN Meru di sandang,Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar yang memenangi kerusi itu atas tiket Parti Amanah Negara (AMANAH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bagaimanapun beliau menyertai PKR pada tahun 2020.
DUN Dengkil menjadi pertikaian BN dan PH kerana UMNO dan PKR berminat dengan kerusi itu yang mana ketika ini, kerusi itu diwakili ADUN dari BERSATU.