Penyokong Najib telah diberitahu sebab apa dia tidak boleh dibebaskan, kata Zahid


(Malaysia Gazette) – Pucuk pimpinan UMNO telah memberi penjelasan kepada penyokong Datuk Seri Najib Razak berhubung usaha mendapatkan pengampunan diraja bagi bekas Perdana Menteri itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka juga telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami telah memperjelaskan perkara ini malah mereka juga telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri untuk diberikan pencerahan mengenai jawapan Perdana Menteri di Dewan Negara baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan jentera UMNO di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri diminta mengulas mengenai keresahan penyokong Najib ekoran belum ada perkembangan positif dalam usaha mendapatkan pengampunan diraja terhadapnya.

Penyokong Najib berharap bekas Presiden UMNO yang sedang menjalani hukuman penjara atas sabitan kes SRC International Sdn Bhd itu dibebaskan secepat mungkin bagi membantu kempen parti dalam enam pilihan raya negeri (PRN).

Sementara itu, berhubung PRN Negeri Sembilan, Ahmad Zahid berharap BN diberi pertimbangan untuk diberi dua lagi kerusi sebagai tambahan kepada 16 kerusi yang disandang.

“Secara ideal kita mengekalkan kerusi-kerusi yang kita pegang itu tidak jadi masalah.

“Lebih baik jika pihak BN dan PH atas pertimbangan untuk kami diberikan peluang dua lagi kerusi tambahan dan jentera amat bersedia ke arah kemenangan,” jelasnya.

Beliau menambah, BN juga akan memastikan terdapat kesinambungan muka lama dan baru dari segi pemilihan calon pada PRN di enam negeri terbabit kelak.

 



Comments
Loading...