Bukan semua ahli, pemimpin DAP setuju kerjasama dengan Umno


(My Metro) – Kenyataan dibuat bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua menunjukkan bukti jelas bukan semua ahli akar umbi atau pemimpin parti itu bersetuju keputusan bekerjasama dengan Umno membentuk Kerajaan Perpaduan.

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, ia menyebabkan pergolakan dalaman DAP itu sendiri kesan daripada kerjasama yang dipaksa.

“Bagi saya, bukan saja akan menjauhkan pengundi dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) atau mana-mana pilihan raya selepas ini, tetapi juga akan menyebabkan kemerosotan sokongan ahli akar umbi dan berlaku peralihan undi secara automatik kepada parti politik lain dalam PRN akan datang.

“Inilah segelintir pemimpin DAP risau jika tidak ditangani dengan begitu baik, mereka juga akan terkesan terhadap apa yang dilakukan oleh kepimpinan tertinggi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Tony Pua sewaktu berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di perkarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dilapor menggelarkan Barisan Nasional (BN) sebagai ‘pakatan korup’ dengan label sama diberikan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Perkara itu kemudiannya mengundang kritikan oleh pemimpin Umno antaranya Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mendesak kepimpinan DAP tidak sesekali meletakkan bekas Ahli Parlimen Damansara itu sebagai calon dalam PRN akan datang.

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik turut yakin sekiranya satu tindakan tidak diambil oleh DAP untuk menilai semula kerjasama politik atau menjernihkan perbezaan pandangan dalam parti itu, ia akan menyebabkan kesan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Bagi saya sedikit sebanyak akan menyebabkan Kerajaan Perpaduan itu sendiri akan bergolak akibat daripada kegagalan menangani perbezaan pandangan dalam DAP itu sendiri.

“DAP sebelum ini jika ada perbezaan pandangan, mereka dengan mudahnya menutup perbezaan itu supaya tidak menjadi satu isu yang lebih besar.

“Tetapi pemimpin DAP hari ini secara terbuka mengkritik dan kemudiannya menyatakan perbezaan pandangan. Ini menggambarkan juga kepimpinan DAP hari ini gagal untuk menerajui atau memimpin begitu baik berbanding pada zaman Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng berkhidmat sebagai Pengerusi atau Setiausaha Agung,” katanya.

 



Comments
Loading...