Pemuda MCA saran pulau kempen PRN kerana disisih sejak BN berkawan dengan DAP
(Utusan) – Pemuda MCA menyarankan kepemimpinan parti itu memulau Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.
Setiausaha Agung Pemuda MCA, Daniel Wa, turut menyarankan MCA tidak membantu mana-mana calon yang didakwa bersifat sombong sejak Barisan Nasional (BN) menjalinkan kerjasama dengan DAP.
Ini kerana, dakwanya, calon berkenaan dengan angkuh dan dilihat bangga menjadi jurucakap DAP, seolah-olah mereka hanya memerlukan parti berkenaan sebagai rakan.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara jelas mana-mana calon yang didakwa sombong dan lebih memihak kepada DAP.
“MCA selama ini setia dan berpegang teguh kepada prinsip serta semangat BN. Susah senang MCA tetap bersama BN, walaupun banyak parti komponen meninggalkan gabungan berkenaan ketika berdepan waktu sukar.
“Kini dia sudah ada kawan baharu DAP, maka itu dia mendabik dada dan tidak perlukan MCA serta MIC yang digelar ‘biawak hidup’.
“Kepemimpinan MCA juga diharap dapat meneliti secara mendalam cadangan ini bagi mengajar golongan yang sombong, angkuh dan tidak sedar diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, MCA dilapor sedang mempertimbangkan beberapa pilihan untuk parti itu menghadapi enam PRN, antaranya berkempen untuk rakan parti komponen MCA di bawah BN, tetapi tidak bertanding pada pilihan raya berkenaan.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, dipetik berkata, MCA mengalami lebih banyak kekalahan di enam negeri berkenaan dari 2008 hingga kini.
Dalam keadaan itu, katanya, MCA langsung tidak mempunyai kuasa rundingan dan akan menghadapi proses rundingan yang sangat sukar.
Antara pilihan lain ialah bertanding di kerusi tradisi di enam negeri itu atau berusaha untuk bilangan kerusi minimum.
Ini kerana, parti berusia 74 tahun itu memerlukan golongan muda sebagai pengganti bagi mengembalikan kekuatannya ke arah yang lebih baik.