UMNO, BN Kelantan rayu sokongan penyokong PAS demi elak 45-0


(Berita Harian) – UMNO Kelantan merayu penyokong PAS memberi undi kepada Barisan Nasional (BN) demi memastikan harapan Timbalan Menteri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, untuk menyapu bersih 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang tidak menjadi kenyataan.

Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman, berkata perkara itu perlu dilakukan bagi memastikan UMNO dapat memikul tugas semak dan imbang di negeri ini yang ditadbir oleh PAS.

“Sepatutnya penyokong PAS undi BN untuk tugas semak dan imbang atas kegagalan kerajaan PAS mentadbir Kelantan selama lebih 30 tahun.

“Ia juga bagi memudahkan UMNO untuk menyampaikan suara rakyat kepada kerajaan negeri termasuk hal kebajikan dan pembangunan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, berkata ini berikutan pembangunan di negeri ini tidak stabil walaupun PAS mentadbir Kelantan lebih 30 tahun lalu.

Menurutnya, kadar pengangguran di negeri ini juga tinggi menyebabkan ramai anak muda berhijrah ke negeri lain yang menawarkan peluang pekerjaan yang lebih baik.

“Selain itu, masalah sosial termasuk dadah juga membimbangkan yang membabitkan golongan muda.

“Justeru, saya menyeru penyokong PAS memberi undi kepada UMNO untuk perubahan dan menjadikan Kelantan lebih baik. Saya berharap kerajaan PAS cukup-cukuplah menipu rakyat,” katanya.

Media semalam melaporkan, PAS mengharapkan penyokong UMNO di enam negeri akan menyokong PAS pada Pilihan PRN nanti.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata ini kerana penyokong UMNO sudah tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menyokong PAS demi masa depan agama Islam dan kepentingan ummah.

Januari lalu, Mohd Amar berkata, PAS yakin mampu memenangi kesemua 45 kerusi DUN Kelantan pada PRN nanti.

 



Comments
Loading...