PKINK terus catat prestasi cemerlang


(Harakah) – Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) terus mencatat prestasi cemerlang apabila keuntungan tahun lepas meningkat sebanyak 37 peratus melebihi sasaran awal ditetapkan.

Manakala pencapaian bagi 15 anak syarikat PKINK secara aggregat 30 peratus lebih baik berbanding sasaran yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK Ab Aziz Yunus berkata, tiga anak syarikat mencatatkan keuntungan yang cemerlang tahun 2022 iaitu Permodalan Kelantan Bhd (PKB), Infra Quest Sdn Bhd dan Kumpulan Perladangan.

“Jumlah keuntungan aggregat tiga anak syarikat terbabit hampir RM70 juta,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya berdasar penyata akaun yang diaudit, keuntungan PKINK meningkat daripada sasaran yang ditetapkan tahun 2022.

Kata beliau pencapaian Kumpulan PKINK lebih baik daripada anggaran bajet yang disasarkan melibatkan keuntungan PKINK dan anak-anak syarikat melalui kaedah menyatukan (consolidate) penyata akaun.

Beliau berkata, hasil keuntungan PKINK meliputi pelbagai jenis sumber pendapatan terutamanya sewaan bangunan milik PKINK yang merangkumi premis perniagaan, pejabat, kilang serta gerai makan.

“Terdapat hasil PKINK daripada usaha sama projek-projek hartanah yang dirancang melalui Pelan Strategik PKINK 2018 hingga 2023.

“Selain itu, PKINK juga menerima tribute dan sewaan tapak hasil daripada aktiviti sumber asli dari pelaburan di sektor perlombongan dan perkayuan,” ujarnya.

Selain itu PKINK juga memperoleh dividen daripada syarikat anak dan syarikat bersekutu yang menjalankan aktiviti pelbagai bidang dan kepakaran.

“Permodalan Kelantan Bhd memperolehi keuntungan daripada urusniaga ar Rahn di mana membayar dividen kepada PKINK sebagai Holding Company (syarikat induk),” katanya.

 



Comments
Loading...