Tun M setuju kukuh perpaduan Melayu, tingkat sokongan kepada PN – Muhyiddin
(Suara TV) – Pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada dasarnya telah bersetuju untuk mengukuhkan perpaduan orang Melayu dan meningkatkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam menghadapi pilihan raya di enam buah negeri tidak lama lagi.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menyatakan, mereka berdua telah berbincang panjang lebar tentang kedudukan dan masa depan orang Melayu tanpa menyentuh Proklamasi Orang Melayu secara khusus.
“Semalam saya telah mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Alhamdulillah, pertemuan empat mata ini telah berjalan dalam suasana yang mesra dan saling hormat-menghormati antara kami berdua.
“Kami telah berbincang panjang lebar tentang kedudukan dan masa depan orang Melayu tanpa menyentuh Proklamasi Orang Melayu secara khusus.
“Pada dasarnya kami bersetuju untuk mengukuhkan perpaduan orang Melayu dan meningkatkan sokongan kepada Perikatan Nasional khususnya dalam menghadapi pilihan raya di enam buah negeri tidak lama lagi,” ujar Ahli Parlimen Pagoh itu dalam kenyataan pada Rabu.