Silap-silap dia pun tak tahu apa dia tandatangan, Annuar bidas PMX isu hutang FELDA


(Agenda Daily) – Tan Sri Annuar Musa membidas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak tahu apa sebenarnya yang ditandatangannya sehingga membuat dakwaan kononnya hutang peneroka tidak dihapuskan sebelum ini.

Bekas menteri tersebut berkata PMX yang juga adalah Menteri Kewangan sepatutnya membuat kerja rumah terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan kononnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini tidak menghapuskan hutang peneroka.

“Apabila tak boleh kutip duit dengan peneroka, FELDA perlu duit nak bayar hutang-hutang dia kepada bank dan sebagainya,

“Maka kerajaan kena ada formula, tak boleh hanya hapuskan hutang tinggalkan saja FELDA begitu… Lalu kerajaan sudah ada kaedah bersetuju untuk melancarkan bon, melancarkan sukuk dan prosesnya panjang.

“Perlu diambil tanggungjawab oleh kementerian lain, itu yang belum selesai,” katanya semasa berucap malam tadi pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu kata kenyataan Anwar mendakwa membuka fail dan kemudiaan menandatangan penghapusan hutang tersebut sebagai agak pelik kerana kerajaan tidak bertindak sebegitu dan perlu melalui prosesnya.

“Bila Datuk Seri Anwar Ibrahim bersyarah, saya dengar dia kata dia buka fail hutang belum hapus.

“Dia buka fail, dia tandangan, eh kerajaan tak bertindak dengan cara begitu,” ujarnya lagi.

Jelasnya lagi, Anwar berkemungkinan tidak mengetahui apakah dokumen sebenar yang ditandatanganinya sehingga membuat dakwaan tidak munasabah dan tidak berfakta.

“Perdana Menteri dia buat keputusan dia kena bawa dalam Mesyuarat Kabinet, yang hendak ditandatangan itu pula kena tengok sama ada dibuat sebagai Perdana Menteri atau Menteri Kewangan.

“Dulu zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kewangan orang lain dan Perdana Menteri orang lain… Zaman Anwar, Menteri Kewangan pun dia, Perdana Menteri pun dia.

“Silap dia sendiri tidak tahu apa yang dia tandatangan,” katanya lagi.

Menurut Annuar lagi, dokumen yang ditandatanganinya sebelum ini adalah jaminan kerajaan dalam bentuk sukuk dan bukannya penghapusan hutang.

“Tapi yang dia tandatangan itu adalah jaminan untuk bon atau sukuk yang yang merupakan sebahagian daripada formula penyelesaian bagi membantu FELDA.

“Bukan dia tandatangan soal penghapusan hutang kerana penghapusan hutang sudah terlaksana pada 2021 lalu,” katanya lagi.

Untuk rekod, menerusi jawapan bertulis di Parlimen pada 20 September 2021, Dewan Rakyat diberitahu sehingga 25 Ogos 2021, seramai 92,898 daripada keseluruhan 112,638 peneroka yang layak sudah menandatangani perjanjian penghapusan hutang yang bersamaan 82.47%.

 



Comments
Loading...