Zahid tak boleh selamatkan UMNO walaupun buat pembedahan plastik: Annuar


(Agenda Daily) – UMNO tidak boleh diselamatkan selagi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi Presiden parti tersebut, kata Tan Sri Annuar Musa.

Bekas pemimpin veteran yang dipecat UMNO sebelum ini menasihati agar segera disingkirkan Zahir daripada parti tersebut dan mencadangkan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai pengganti.

“Zahid tak boleh selamatkan UMNO, buatlah pembedahan plastik ke apa, macam itu juga, tak boleh.

“Kerana polisik sedemikian yang menyebabkan amanah diberi ahli parti tidak dilaksana, elok Tok Mat (Mohamad) pegang sekejap (jawatan pemangku Presiden).

“Masa Tok Mat lah lahir MN (Muafakat Nasional), cantik MN, PRK (Pilihan Raya Kecil) Rantau menang besar, Tanjung Piai menang… Saya pengarah PRK rantau,” katanya semasa berucap di Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Jempol malam ini.

Menurut bekas Ahli Parlimen Ketereh itu lagi, kerosakan yang berlaku kepada UMNO berpunca daripada Zahid sehingga menyebabkan parti itu kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Yang rosaknya UMNO kerana orang tak mahu Zahid… Cuma cari jalan supaya Tok Mat ganti Zahid, kalau Tok Mat ganti Zahid atau Najib (Datuk Seri Najib Razak) ganti Zahid, saya rasa UMNO tak sempat nazak boleh diselamatkan.

“Tapi kalau UMNO terus pertahankan Zahid, habis (kalah),” ujarnya lagi.

Terdahulu, Annuar memaklumkan dalam akaun Facebooknya terdapat halangan pihak tertentu yang cuba menghalangnya daripada memberi ceramah di FELDA Jempol malam ini.

Untuk rekod, UMNO memecat Annuar pada 9 Disember tahun lalu selepas berakhir PRU-15 atas alasan mensabotaj kempen calon.

 



Comments
Loading...