‘Hadiah’ Anwar tak jamin tarik sokongan peneroka muda Felda, kata NGO


(FMT) – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpandangan pelbagai “hadiah” diumumkan kerajaan minggu lalu tidak menjamin sokongan peneroka muda Felda kepada pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Penasihat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan Mazlan Aliman berkata walaupun sebahagian besar lega terutamanya berkaitan pelupusan hutang RM8.3 bilion yang berlarutan lebih 15 tahun, namun masih banyak perlu dilakukan untuk meyakinkan orang muda.

“Ia mungkin tetapi bergantung ‘political will’ (keazaman politik) kerajaan dalam meyakinkan pengundi terutamanya orang muda,” katanya kepada FMT.

Pada sambutan Hari Peneroka Felda, 7 Jul lalu, Anwar mengumumkan peruntukan awal hampir RM1 bilion setahun bagi tempoh 10 tahun untuk meneruskan pembayaran sukuk Felda yang tertangguh oleh kerajaan sebelum ini.

Anwar yang juga menteri kewangan mengumumkan Sumbangan Kesihatan Rahmah (SKR) membabitkan peruntukan RM21.21 juta, pembinaan pusat hemodialisis (RM21 juta), penyelenggaraan kos operasi lampu jalan (RM7.7 juta) dan subsidi diesel untuk Felda di Sabah (RM36 juta).

Beliau juga mengumumkan program Digital Madani, penyelesaian isu Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) dan bantuan untuk peneroka beralih ke komoditi lain.

Mazlan bagaimanapun ralat kerana tiada penjelasan berhubung hala tuju 70% generasi kedua hingga kelima Felda yang harus diberikan peluang mengetuai organisasi itu pada masa depan.

“Ia merangkumi peralihan kepimpinan dari kalangan warga Felda sendiri, dengan erti kata lain ‘pemimpin luar’ menjadi pengerusi dan pengarah besar Felda ditamatkan kontrak dalam masa dua tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Suara Generasi Baru Felda (SGBF), A Rashid Ridha Muhamad berkata kerajaan sepatutnya berusaha menambah pendapatan peneroka yang kebanyakannya dalam kategori B40.

“Peneroka tidak hairan dengan apa yang diberi seperti pusat dialisis, lampu jalan dan digital kerana itu sudah menjadi tanggungjawab pihak yang mentadbir kerajaan,” katanya.

 



Comments
Loading...