Tun Faisal: Sindrom penafian Umno beri kelebihan pada PN


(Malaysiakini) – Bekas timbalan ketua Umno Bahagian Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz berpendapat tindakan kepimpinan Umno yang kini berada dalam sindrom penafian berhubung penolakan ahli akar umbi terhadap Ahmad Zahid Hamidi memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, ahli Umno kini terpecah kepada dua kategori iaitu di kalangan mereka yang menyokong kepimpinan Zahid sebagai presiden Umno dan sebaliknya.

“Kalau kita lihat melalui ceramah atau kenyataan dikeluarkan orang seperti Lokman Adam misalnya, jelas menunjukkan Umno berada dalam sindrom penafian daripada realiti sebenar. Keadaan ini tentunya akan memberi kelebihan kepada PN.

“Saya sendiri menerima respon baik daripada ahli akar umbi selepas pengumuman menyertai Bersatu. Sebahagian ahli mereka memang tak keluar parti tetapi sudah buat keputusan untuk tidak lagi mengundi Umno atau BN dalam pilihan raya negeri (PRN).

“Selain itu, ada juga kumpulan yang menunggu masa sesuai dan akan turunkan Zahid. Keyakinan yang diberikan oleh pimpinan Umno sekarang hanyalah keyakinan palsu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tun Faisal berkata demikian sebagai mengulas sejauh mana dia melihat keyakinan Umno bahawa mereka mendapat sokongan ahli akar umbi berbanding realiti sebenar dihadapi parti itu.

Terdahulu, Malaysiakini turut melaporkan Tun Faisal meninggalkan Umno dengan menyertai Bersatu sebagai wadah baru dalam karier politiknya selepas dipecat Umno.

Mengulas pilihannya yang tidak mengikuti langkah bekas bosnya Annuar Musa menyertai PAS, Tun Faisal berkata dia bukanlah penyokong tegar Annuar seawal penglibatan dalam politik.

Jelasnya, dia mula berkhidmat dengan bekas menteri Umno pada 2020.

“Saya asalnya bukan daripada circle Annuar tetapi berkhidmat dengannya sebagai setiausaha akhbar ketika beliau menjadi menteri Wilayah Persekutuan.

“Jadi apabila Tan Sri menyertai PAS dia ajak juga saya dan saya kata nanti dulu. Saya ambil masa untuk tengok kesesuaian dan dalam konteks Putrajaya, memandangkan saya duduk sini dan bekas timbalan ketua Umno bahagian.

“Kalau dengan PAS pun saya okay, tetapi Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin perlukan bantuan untuk memperkemaskan lagi pengaruh Bersatu di Putrajaya dan saya rasa lebih sesuai dengan Bersatu selain struktur organisasinya dan template seperti Umno,” katanya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...