Twitter sekali lagi tolak permintaan SKMM keluarkan kiriman persenda slogan Madani PM
Ini adalah siri tindakan terbaru pihak berkuasa internet untuk meminta platform media sosial mendiamkan pengkritik kerajaan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menulis kepada Twitter meminta platform media sosial itu untuk mengeluarkan kiriman oleh seorang pencipta kandungan terkemuka yang terkenal dengan kritikan gaya komedi slapstick atau gurauan kasar terhadap kerajaan.
Ia berlaku hanya beberapa hari selepas permintaan serupa oleh pengawal selia internet itu untuk mengambil tindakan terhadap pengguna lain dinafikan.
SKMM meminta Twitter untuk mengeluarkan kiriman pada 11 Julai oleh Syarul Ema Rena, atau lebih dikenali Ratu Naga.
Kiriman itu adalah reka bentuk yang mengandungi logo PKR dilihat turut disertakan tangan dengan jari tengah dinaikkan.
Grafik itu disertakan dengan perkataan “Mahaldahni”, permainan slogan “Malaysia Madani” Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menunjukkan kenaikan harga barang.
Ratu Naga bagaimanapun dimaklumkan oleh Twitter di sebalik permintaan itu, adalah menjadi dasar syarikat untuk tidak mengambil sebarang tindakan demi kepentingan kebebasan bersuara, sambil menambah ia memberi pilihan kepadanya memutuskan sama ada untuk mengeluarkan ciapannya atau tidak.
“Kami mahu anda mempunyai peluang untuk menilai permintaan itu dan, jika anda mahu, ambil tindakan yang sewajarnya untuk melindungi kepentingan anda.
“Ini mungkin termasuk mendapatkan nasihat undang-undang dan mencabar permintaan di mahkamah, menghubungi organisasi masyarakat sivil yang berkaitan, memadam kandungan secara sukarela (jika berkenaan), atau mencari beberapa resolusi lain,” kata Twitter.
Ketika dihubungi, Ratu Naga berkata beliau tidak akan mengeluarkan kiriman tersebut.
“Ya, memang nampak macam logo PKR dengan latar belakang pencakar langit. Manakala ‘mahaldahni’ pula dah jadi ungkapan tentang kenaikan kos sara hidup.
“Apa salahnya buat lawak tentang Madani?”