Tindakan polis tahan Sanusi jam 3 pagi tak wajar – Ahli Parlimen PH


(Berita Harian) – Seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) daripada PKR, membidas tindakan polis yang dianggapnya tidak wajar apabila menahan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, di sebuah hotel di ibu negara, pada jam 3 pagi tadi.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, mengecam tindakan itu yang disifatkan tidak sepatutnya dilakukan terhadap seorang pemimpin yang memegang jawatan menteri besar.

“Sanusi seorang Menteri Besar. Beliau bukan suspek yang akan melarikan diri. Penangkapan boleh dijalankan awal pagi atau petang. Tak wajar dilaksanakan tengah malam.

“Tindakan siasatan dan tangkapan dijalankan oleh PDRM (Polis Diraja Malaysia). Kita menghormati institusi bidang kuasa PDRM yang bebas dan profesional.

“SOP (prosedur operasi standard) polis yang ditetapkan zaman darurat wajar dikaji semula, sejajar dengan prinsip Malaysia Madani yang didukung oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Malaysia negara hukum, Malaysia juga negara madani,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebooknya hari ini.

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ditahan di sebuah hotel di ibu negara, pada jam 3 pagi tadi.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) ditahan oleh polis kira-kira jam 3 pagi tadi sebelum untuk dihadapkan ke mahkamah mengikut Akta Hasutan.

Beliau didakwa atas tuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Tze Tzin menegaskan negara mempunyai proses perundangan yang akan menentukan nasib Muhammad Sanusi.

“Ceramah Sanusi celupar, hina institusi Raja, memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum. Beliau harus disiasat, jika bukti kukuh, harus didakwa.

“Negara ini mempunyai perundangan yang lengkap. Yang salah disiasat pihak berkuasa, (jika ada) bukti kukuh, Peguam Negara akan mendakwa. Kalau dibuktikan bersalah di mahkamah, hukuman akan dijatuhkan. Itu proses perundangan,” katanya.

 



Comments
Loading...