“Itu dokumen sukuk berjaminan kerajaan, bukan perjanjian lupus hutang Felda” – Marzuki beritahu Anwar
(Suara TV) – Dokumen yang dikemukakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bukanlah perjanjian pelupusan hutang peneroka Felda tetapi perjanjian mengenai sukuk berjaminan kerajaan yang telah diterbitkan secara berperingkat.
Bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad menjelaskan, dokumen yang disiarkan menerusi kenyataan media Perdana Menteri tidak membuktikan pelupusan hutang peneroka hanya dibuat pada bulan Jun 2023.
“Ia adalah berkenaan penerbitan Sukuk Berjaminan Kerajaan yang memang merupakan sebahagian daripada keputusan Kabinet pada tahun 2020.
“Sesiapapun yang menjadi Menteri Kewangan mesti menandatangani dokumen ini. Seingat saya Tan Sri Muhyiddin tak pernah jadi Menteri Kewangan.
“Penyiaran dokumen ini mengesahkan telahan saya sebelum ini bahawa dokumen yang ditandatangani oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan bukanlah perjanjian pelupusan hutang peneroka Felda tetapi perjanjian berkaitan sukuk berjaminan kerajaan,” kata Marzuki dalam hantaran di Facebooknya pada Khamis.
Menurut beliau, Kabinet pada 14 Oktober 2020 (ketika Tan Sri Muhyiddin Perdana Menteri) telah meluluskan Pelan Pemulihan Felda yang di dalamnya termasuklah pelupusan 80 peratus hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion, penerbitan sukuk RM9.9 bilion secara berperingkat untuk tujuan pengambilalihan FGV dan penyelesaian hutang FELDA dengan Maybank dan KWSP dan penyediaan geran tahunan RM990 juta kepada Felda oleh Kerajaan Persekutuan.
“Baru sekejap tadi Perdana Menteri menyiarkan sebahagian dokumen yang dikatakan perjanjian pelupusan RM8.3 bilion hutang peneroka Felda.
“Sekali pandang saya sudah tahu. Dokumen tersebut bukanlah perjanjian pelupusan hutang peneroka Felda, tetapi perjanjian mengenai sukuk berjaminan kerajaan yang diterbitkan secara berperingkat.
“Untuk mengelakkan keraguan mengenai keputusan kabinet pada 14 Oktober 2020 yang telah melupuskan hutang peneroka Felda, eloklah kerajaan “declassify” minit mesyuarat Kabinet tersebut untuk tatapan rakyat,” gesa Marzuki.