PMX tunjuk dokumen FSRA berkaitan sukuk, bukan hapus hutang peneroka


(Agenda Daily) – Dokumen Akaun Rizab Perkhidmatan Kewangan (FSRA) didedahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menerima tuntutan saman kerana membuat fitnah terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu penghapusan hutang peneroka FELDA.

Dalam kenyataan Anwar yang juga Menteri Kewangan itu, dokumen perjanjian FSRA itu adalah berhubung Jaminan Kerajaan kepada FELDA dan ia juga tidak menyentuh secara spesifik berhubung penghapusan hutang peneroka seperti yang diwar-warkan oleh beliau kepada orang ramai sebelum ini.

“Saya kemukakan sebahagian dokumen perjanjian ‘Assignment for Financial Service Reserve Account’ (FSRA) terkait Jaminan Kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang saya tandatangani.

“Justeru itu, saya mendesak Tan Sri Muhyiddin untuk memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan kepada saya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Muhyiddin menuntut Anwar membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis susulan kenyataannya yang mendakwa hutang peneroka FELDA berjumlah RM8.3 bilion tidak pernah dilupuskan bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Tuntutan itu dikemukakan dalam surat bertarikh 18 Julai menerusi firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership.

Selain itu, dalam tempoh 24 jam dari penerimaan surat berkenaan, Anwar juga perlu mengemukakan surat atau dokumen yang ditandatangani mengatakan beliau sebagai Menteri Kewangan pada akhir Jun lalu meluluskan pelupusan hutang peneroka FELDA bernilai RM8.3 bilion.

Sementara itu, portal BH melampirkan salinan arahan pembayaran dibuat Kementerian Kewangan (MOF) kepada FELDA Sukuk pada 20 Julai 2023 dengan sejumlah wang RM990 juta.

Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO), turut disertakan dokumen perjanjian antara Kerajaan Malaysia dan FELDA dengan Amanahraya Trustees Berhad sebagai Pemegang Amanah Sukuk.

 



Comments
Loading...