Isu nadir bumi: Sanusi akan hantar surat tuntutan kepada Saifuddin


(Malaysiakini) – Menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata peguamnya akan menghantar surat tuntutan kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail hari ini.

Dia berkata Saifuddin telah membuat fitnah berhubung kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik dan isu pembiayaan RM1.6 bilion daripada Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (Marris).

“Peguam saya e-mel malam ini (semalam). Esok (hari ini), kita akan hantar surat. Kalau dia tak jawab, kita akan saman.

“Dia tuduh saya pencuri REE dan tuduh saya guna peruntukan RM1.6 bil yang patut jadi duit Marris Malaysia untuk tujuan pembangunan lain. Dia kata (dana itu) buat benda lain.

“Dia longgokkan kesalahan menteri-menteri Umno atas kepala saya padahal saya tak tahu apa pun,” kata Sanusi dalam ucapan di Sik, Kedah malam tadi.

Sanusi telah menyatakan hasratnya untuk menyaman Saifuddin berhubung dua isu ini Ahad lalu.

Saifuddin, yang juga pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah, mendakwa dia tidak mendedahkan kecurian REE untuk memburukkan imej Sanusi sebaliknya menunjukkan wujudnya isu penyelewengan pentadbiran.

Saifuddin juga sebelum ini mendakwa Sanusi telah menggunakan dana Marris yang diperuntukkan untuk penyelenggaraan jalan untuk tujuan pembangunan lain.

 



Comments
Loading...