‘Anwar nak terajang perasuah, sebelah dia siapa?’
(Harakah) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memimpin kerajaan dengan sombong, malah penuh angkuh apabila berucap mahu menerajang perasuah masuk dalam penjara.
Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim berkata, bagaimanapun di sebalik kata-kata Anwar, tetapi di sisinya seorang Timbalan Perdana Menteri yang ada kes rasuah di mahkamah.
Begitu juga menurutnya, para pemimpin Pakatan Harapan seperti Rafizi Ramli, Mohamad Sabu, Nga Kor Meng dan lain-lain juga pernah menghentam Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, mereka itu sebelum pilihan raya mahu Zahid ditangkap dan dipenjarakan, tetapi kini ketika ghairah bercakap mengenai usaha memerangi rasuah, tetapi Zahid yang ada bersama tidak disebut.
“Banyak kawan-kawan saya kena ugut. Ini rasuah, ini sakau, ugut. Dia lupa orang ni kalau nak ugut pun, bawa pi mahkamah. Nak bicara lagi empat lima tahun, tapi yang duk sebelah Perdana Menteri itu, sudah pergi mahkamah, awat tak sebut?
“Kami tak takut dengan manusia, kami takut dengan Allah Taala. Kita berjuang! Kita pejuang, kita buat kerja kerana Allah. Jangan cari pasal dengan kami. Kami tetap berjuang dengan kalimah Allah untuk mempertahankan negara ini.
“Jangan buat apa-apa kat kami. Kalau anak jantan, mari berperang cara anak jantan, berpidato, ceramah, jawablah,” ujarnya pada Majlis Pengisytiharan Calon PN Kedah di Kompleks PAS Kedah, di sini semalam.
Bidasnya, sikap ditunjukkan oleh pemimpin kerajaan sekarang adalah ‘double standard’ yang menunjukkan mereka tidak boleh dipercayai dan beliau yakin rakyat Malaysia begitu memerhatikan perkara tersebut.