Serangan politik Sanusi bangkitkan gelombang rakyat


(Harakah) – Kesan serangan musuh politik terhadap Menteri Besar (MB) Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor secara tidak langsung mengundang gelombang rakyat terhadap PERIKATAN NASIONAL (PN).

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, serangan bermotif politik itu bukan sahaja melalui media sosial, sebaliknya turut melibatkan menteri kerajaan PH-BN.

“Namun, penyokong dan pendukung menjadi benteng pertahanan supaya PN tidak goyah diserang musuh,” katanya pada majlis pengumuman calon PN Kedah di Kompleks PAS Kedah, malam tadi.

Turut hadir ialah Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli; Ketua Pemuda PAS Malaysia Ahmad Fadhli Shaari: Pengerusi Bersatu Kedah Suhaimi Abdullah; dan Ahli Parlimen Arau Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim.

Program tersebut bermula dengan solat Maghrib dan Isya berjemaah kemudian solat sunat hajat serta munajat.

Pada sebelah petang diadakan konvoi bermotosikal anak-anak muda, Himpunan Mega Samudra dikendalikan Dewan Pemuda PAS Kedah.

Ahmad juga berkata, Kompleks PAS Kedah merakam sejarah apabila kehadiran orang ramai pada majlis pengumuman calon Pilihan Raya Negeri (PRN) PN kali ini paling ramai berbanding sebelumnya.

Menurut beliau perkarangan Kompleks PAS Kedah seluas 11 relong kelihatan kecil dan sempit dengan kehadiran ribuan penduduk tempatan.

“Di kompleks ini pernah diadakan majlis pengumuman calon bermula tahun 2004, 2008, 2013, 2018, 2022 dan malam ini dianggap kehadiran paling ramai.

“Kehadiran tersebut di luar jangka itu tidak termasuk yang mengikuti secara atas talian,” katanya.

 



Comments
Loading...