‘Pejabat Pak Reza sudah siap di Alor Setar’ – dedah Sanusi
(Berita Harian) – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan beliau mengetahui di mana lokasi pejabat pelabur Indonesia dikenali sebagai ‘Reza Khalid’ yang dikatakan berminat melombong bahan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.
Beliau berkata, Reza Khalid ada membuat permohonan di satu tapak kawasan REE di Kedah bagi melakukan aktiviti itu, namun tidak dapat dilaksanakan kerana tidak memenuhi syarat termasuk kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA).
“Tentang REE (adalah) pertembungan kuasa besar Amerika Syarikat (AS) dan China untuk menguasai tanah kita, saya sedar benda ini lama, saya ingat mereka tahu. Bos kamu bawa taikun besar mohon (tapak melombong), pejabat dia pun sudah siap di Alor Setar, esok kita akan tangkap gambar pejabat Pak Reza.
“Kawan ini (Reza) sudah proses mohon elok cuma EIA tak dapat, tak boleh jalan (aktiviti melombong) lagi, petak (tapak tanah) dia tanda masih dara tak tersentuh, bukan petak (tapak tanah REE) yang dicuri, yang curi Cina Malaysia nama Ho Chung Meng, bukan So Loi Fat (warga China).
“Kawan tu hutang helikopter banyak, saya dah kata kempen naik kereta sudah la, kamu pergi kempen naik helikopter siapa suruh? Helikopter bukan percuma, sewa satu jam RM30,000 ke RM40,000 maka tentu ada balasan. Balasan apa? Yang tengah buat sekarang ini lah, rebut nak kawasan (REE) kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Ceramah Perikatan Nasional (PN) Best di Dataran Darulaman, di sini malam tadi.
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN turut mendakwa, kerajaan Pusat cuba campur tangan dalam mengawal kegiatan melombong REE di Kedah kerana mengetahui negeri itu mempunyai rizab simpanan bahan mineral berkenaan dalam jumlah yang banyak.
Katanya, beliau tidak akan membenarkan sama sekali kerajaan Persekutuan bertindak sedemikian kerana bahan mineral itu kini menjadi sumber kekayaan baharu Kedah yang hasilnya harus dinikmati semua rakyat negeri itu.
“Ada cadangan juga kerajaan Persekutuan ambil alih hal REE ini, bayar royalti macam petroleum (kepada negeri). Mana boleh, ini (REE) negeri punya. Taubat saya tak akan bagi, kalau PN perintah Pusat sekalipun, saya tak akan bagi kerana ini hak negeri.
“Negeri ini kuasa tak banyak, kuasa agama di bawah Tuanku Sultan, kuasa tanah yang kita boleh kutip cukai, kuasa ke atas air juga sudah tidak ada apabila diambil alih Persekutuan melalui Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
“Hendak ambil juga REE memang tak boleh, memang berperanglah. Mereka buat kacau bilau sehingga satu dasar dibuat Persekutuan semua REE serah pada Pusat, saya tak akan biar, saya akan londeh (dedahkan) lagi,” katanya.
Muhammad Sanusi pada ceramahnya di Pekan Naka malam kelmarin, mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seorang warga Indonesia pernah datang ke Kedah untuk meninjau tapak lombong unsur nadir bumi (REE) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Beliau berkata, warga Indonesia yang dikenali sebagai ‘Reza Khalid’ itu dikatakan menjadi pelabur yang berminat mengusahakan aktiviti melombong REE di Kedah.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendakwa Muhammad Sanusi ‘merapu’ apabila mendakwa Anwar dan Reza Khalid memohon tanah bagi melombong REE di Kedah.