Keputusan letak presiden Gerakan di kerusi majoriti Melayu harus diterima semua, kata PAS


Parti Islam itu memohon maaf atas layanan terhadap Dominic Lau pada ceramah Perikatan Nasional baru-baru ini.

(MalaysiaNow) – PAS hari ini memohon maaf atas insiden melibatkan Presiden Gerakan Dominic Lau yang diberi sambutan dingin pada majlis ceramah Perikatan Nasional (PN) di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, yang turut dihadiri ketuanya Abdul Hadi Awang.

Walaupun Lau dilaporkan menafikan dakwaan beliau diminta keluar oleh seorang pemimpin PAS tempatan, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata beliau sepatutnya diterima dan dihargai sebagai tetamu, selaras dengan prinsip Islam.

Mengakui sentimen dalam kalangan ahli dan penyokong PAS di peringkat tempatan mengenai pencalonan Lau di Bayan Lepas, kerusi majoriti Melayu, Takiyuddin bagaimanapun berkata keputusan meletakkan beliau perlu diterima semua.

“Saya menyeru ahli-ahli PAS berkaitan supaya menyedari bahawa bantahan berterusan dan tindak tanduk yang berlawanan dengan kepentingan parti bukan saja berkemungkinan menimbulkan suasana tidak harmoni dalam gabungan PN, malah turut mencabar dan mempersoalkan kebijaksanaan serta ketepatan keputusan presiden PAS sendiri,” katanya.

Parti komponen PN, Bersatu sebelum ini mengakui beberapa pertikaian berhubung keputusan mencalonkan Lau, timbalan pengerusi PN, sebagai calon gabungan itu untuk Bayan Lepas.

“Ramai yang merasakan bahawa kerusi itu lebih sesuai diwakili oleh calon di kalangan orang Melayu, tetapi itulah keindahan yang ada pada PN di mana kita meletakkan calon bukan Melayu di kawasan Melayu, kata Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu.

Read more here



Comments
Loading...