Persoalan sukar buat Zahid, Anwar selepas Umno ditewaskan PN


Prestasi buruk parti tonggak BN itu dijangka menguatkan gesaan agar berlakunya perubahan dalam parti, serta Zahid Hamidi berundur.

(FMT) – Umno sekali lagi menunjukkan prestasi buruk pada PRN enam negeri kali ini apabila kalah di kebanyakan kerusi daripada 107 yang ditandinginya.

Keputusan awal menunjukkan kebanyakan kerusi majoriti Melayu di Kelantan, Terengganu, dan Kedah dimenangi oleh Bersatu dan PAS, dua komponen Melayu-Islam Perikatan Nasional (PN).

PN juga menunjukkan prestasi memberangsangkan di kerusi majoriti Melayu di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Pemerhati politik sebelum ini meramalkan prestasi buruk Umno kali ini boleh menimbulkan masalah kepada kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pada PRU15 tahun lepas, Umno hanya memenangi 26 kerusi Parlimen dan tersingkir di tujuh negeri.

Keputusan PRN malam ini dijangka mencetuskan seruan agar Presiden Umno Zahid Hamidi, dikatakan sekutu Anwar paling rapat, berundur.

Senario sebegini akan menimbulkan persoalan tentang masa depan gabungan perpaduan, dan seterusnya, kerajaan persekutuan, kerana pemimpin Umno yang lain mungkin tidak cenderung meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Zahid menangkis gesaan agar beliau berundur selepas PRU15 dan terus mengukuhkan cengkamannya dalam parti itu apabila jawatan presiden tidak dibenar dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini.

Beliau turut menyingkirkan pengkritiknya dalam Umno, termasuk bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan bekas ketua Umno Selangor Noh Omar.

Kini, soalan sukar mungkin sekali lagi akan ditanya kepada Zahid.

Akar umbi Umno juga dijangka mempertimbangkan akibat kerjasama dengan PH, khususnya DAP, yang diragui beberapa pemimpin tertinggi selepas PRU15.

Sumber parti memberikan amaran bahawa jika tiada perubahan menyusuli kekalahan teruk sekali lagi, parti itu berisiko kehilangan akar umbinya.

Bagaimanapun, timbul juga persoalan sukar buat Anwar dan PH, terutamanya mengenai rancangan untuk meraih sokongan masyarakat Melayu, dan sama ada ia boleh bergantung kepada Umno untuk mengubah keadaan menjelang PRU seterusnya, yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada 2027.

Masih agak lama lagi sebelum PRU16 berlangsung, tetapi bagi Umno dan Anwar, pencarian penyelesaian pastinya sudah bermula.

 



Comments
Loading...