Liabiliti terbesar dalam kerajaan Anwar, adakah UMNO atau Zahid?
Kerajaan campuran ibarat dilanda badai tsunami selepas keputusan teruk pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) diumumkan Sabtu lalu.
(Agenda Daily) – Kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kehilangan banyak kerusi selepas dirampas Perikatan Nasional (PN) dalam PRN 2023, sampai masanya untuk Perdana Menteri merenung sejenak siapakah liabiliti yang sedang mereka bawa ketika ini.
Sokongan orang Melayu kepada UMNO selepas PRN 2023 dianggarkan sekitar hanya 20 peratus sahaja, sekaligus membuktikan parti itu tidak lagi mendapat tempat dikalangan pengundi teras yang dianggap deposit tetap mereka.
Majoriti orang Melayu tidak kira sama ada pengundi muda atau pun tua sudah beralih kepada PN yang ditunjangi Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas PRN lalu, ia perlu diakui Anwar dan anak muridnya, Zahid bahawa kerajaan campuran masih gagal mendapat sokongan orang Melayu.
Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk memburukkan pemimpin PN dengan pelbagai tuduhan dan dakwaan sehingga mengheret ke mahkamah, namun ia masih gagal untuk menghakis keyakinan pengundi Melayu kepada Muhyiddin dan PN.
Malahan, PN kini semakin kuat dan mendapat sokongan yang lebih kuat daripada orang Melayu apabila lebih banyak tekanan dan pelbagai penindasan dibuat kerajaan campuran terhadap pemimpin Bersatu dan PAS.
Sepanjang kempen PRN dan sebelum itu lagi, pemimpin PN dituduh dengan pelbagai permainan persepsi yang cuba dilakukan Anwar, antaranya isu berhubung dana judi semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu yang gagal dibuktikan sehingga sekarang.
Ironinya, orang Melayu sekarang lebih bijak menilai setiap dakwaan dan tohmahan dibuat terhadap PN yang tidak lebih sekadar retorik untuk mendapat sokongan.
Anwar tersilap langkah dengan menganggap setiap ’stunt’ politiknya akan dapat mempengaruhi pengundi Melayu untuk menolak PN, sebaliknya rakyat lebih bersimpati dan memberi sokongan kuat kepada pihak lawan.
Cubaan Anwar untuk mengalihkan pandangan peneroka berhubung isu hutang FELDA juga gagal mempengaruhi orang Melayu apabila ia ditangkis dengan cepat PN berdasarkan hujah dan fakta yang tepat.
Kerajaan campuran gagal dalam cubaan ‘spin’ isu hutang peneroka, malah rakyat semakin menyedari penipuan dan helah yang cuba dilakukan oleh parti pemerintah Pakatan Harapan (PH)-UMNO.
Kehilangan sokongan orang Melayu terhadap UMNO perlu dijadikan iktibar kerajaan campuran bahawa setiap cubaan untuk ‘spin’ hanya sia-sia kerana pengundi kini lebih bijak dan cerdik untuk mencari maklumat yang sahih bukan palsu.
Jadi tidak hairan apabila laungan ‘saya ulang’ menjadi tema utama sepanjang kempen PRN lalu kerana ia merupakan satu manifestasi tahap kepercayaan rakyat terhadap kerajaan campuran dipimpin Anwar dan Zahid.
Ketika kempen PRN, berita berhubung pendakwa raya kanan digugurkan daripada mengendalikan kes rasuah Zahid juga mencuri tumpuan rakyat yang sedang memerhati secara dekat perkembangan perbicaraan tersebut.
Keputusan menggugurkan pendakwa kanan dalam kes rasuah Zahid itu juga secara tidak langsung menghakis kepercayaan rakyat terhadap integriti kerajaan campuran yang kononnya tidak akan berkompromi dengan kes mahkamah yang sedang berjalan melibatkan pemimpin UMNO.
Jadi tidak salah untuk mengatakan kes rasuah dihadapi Zahid antara faktor yang berkemungkinan menghakis sokongan rakyat terhadap kerajaan Anwar.
Budaya kempen yang dibawa oleh pemimpin kerajaan campuran sepanjang kempen PRN juga menjengkelkan rakyat, serangan bermotifkan politik dan cuba mengenakan pihak lawan tidak dapat diterima majoriti rakyat khususnya orang Melayu.
Rakyat melihat dan menilai setiap tindakan kerajaan campuran yang cenderung untuk membuli pemimpin politik Melayu daripada PN, modal digunakan untuk menekan adalah kononnya isu melibatkan 3R (race, religion and royal).
Walhal, pemimpin politik bukan Melayu khususnya daripada DAP yang lebih banyak memainkan isu sensitif yang menyentuh orang Melayu dipandang sebelah mata sahaja oleh kerajaan campuran.
Sudah pastinya orang Melayu melihat kerajaan campuran dipimpin Anwar bersikap berat sebelah apabila pemimpin DAP yang menyinggung perasaan dan hati orang Melayu boleh berbuat sesuka hati.
Malah, UMNO dan Zahid juga dilihat hanya berdiam diri apabila isu melibatkan kepentingan orang Melayu dan Islam sedang diganggu gugat secara terbuka oleh rakan politik mereka dalam kerajaan campuran.
Tidak adil untuk menyalahkan orang Melayu apabila sokongan kepada kerajaan campuran semasa PRN lalu sangat rendah apabila pemimpin mereka sendiri dilihat gagal mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu dan agama Islam.
Orang Melayu sudah menggunakan proses demokrasi sebagai referendum kepada kerajaan campuran dan kini terpulang sama ada mereka mahu menerimanya atau pun memekakkan telinga seakan-akan tidak ada apa-apa yang berlaku.