Segera nyahklasifikasi perjanjian maritim Malaysia-Indonesia


(Sinar Harian) – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mendesak kerajaan supaya segera menyahklasifikasikan perjanjian persempadanan maritim yang telah ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Jun lalu.

Ahli Parlimen Beluran itu berkata, desakannya itu adalah demi untuk memelihara kepentingan awam dan seterusnya menghentikan spekulasi awam berhubung perjanjian itu selepas lawatan kerja Presiden Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia.

“Penyahklasifikasian kandungan perjanjian itu bukan sahaja bakal menjawab persoalan sejauh manakah Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani tersebut tidak melibatkan kawasan blok Ambalat tetapi ia juga bakal menoktahkan spekulasi serta kebimbangan rakyat berhubung sempadan separa laut wilayah antara dua negara di Laut Sulawesi seperti yang dikatakan oleh kerajaan.

“Blok Ambalat iaitu kawasan seluas 15,000 kilometer persegi di tengah wilayah pertikaian di luar pantai Sabah ini mengandungi sumber minyak mentah terbesar di dunia dan telah dipertahankan oleh Malaysia sekian lama maka ia tidak boleh digadai sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah Ronald lagi, pakar maritim yang terlibat dalam usaha melindungi hak wilayah Malaysia telah memberi amaran kepada Putrajaya supaya tidak menandatangani sebarang perjanjian baharu untuk menyelesaikan pertikaian sempadan yang berlarutan dengan Indonesia.

“Mereka berkata Malaysia tidak sepatutnya berkompromi terhadap tuntutannya ke atas kawasan tertentu.

“Kita tidak boleh tolak ansur atau berkompromi dalam soal kedaulatan negara khususnya perairan Sabah, yang juga melibatkan zon ekonomi eksklusif (ZEE) serta pelantar benua antara Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Ronald menegaskan bahawa penting untuk didedahkan apa yang dimeterai dalam perjanjian itu supaya spekulasi tidak berpanjangan.

“Ini juga sebagai bukti jelas perjanjian berkenaan tidak langsung melibatkan kawasan yang dirujuk Malaysia sebagai Blok ND6 dan Blok ND7 atau Ambalat.

“Lebih merisaukan apabila beberapa media baru-baru ini melaporkan Malaysia dan Indonesia akan bekerjasama dalam penerokaan sumber minyak dan gas di blok Ambalat yang telah merujuk kenyataan Ketua Pengarah Minyak dan Gas Indonesia sendiri, iaitu Tutuka Ariadji,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, tindakan segera untuk nyahklasifikasikan kandungan perjanjian itu akan memberi pededahan umum berhubung isu Anbalat seterusnya akan merungkai keraguan serta kerisauan rakyat khususnya di Sabah.

 



Comments
Loading...