Peguam sekolahkan Fahmi tentang kebebasan media


Ini berlaku selepas menteri kelihatan mewajarkan siri sekatan ke atas saluran media dalam talian yang diperlukan untuk menghentikan maklumat yang tidak tepat.

(MalaysiaNow) – Kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mempersoalkan kenyataan menteri komunikasi dan digital terhadap maklumat “tidak tepat” dan “fitnah” berikutan aduan sekatan ke atas beberapa laman sesawang dan saluran media sosial sejak Jun tahun ini.

Fahmi Fadzil dilaporkan berkata meskipun beliau memberi jaminan mengenai kebebasan media dan kebebasan bersuara, namun ini tidak bermakna rakyat bebas menyebarkan fitnah dan maklumat salah.

“Secara umumnya, itu adalah jaminan dan pada masa sama kita tidak boleh benarkan kalau ada maklumat salah atau fitnah menyentuh aspek 3R (agama, raja dan kaum) untuk dimainkan oleh mana-mana pihak,” katanya seperti dilaporkan pada 19 Ogos lalu.

LFL bagaimanapun berkata hak kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perkara 10 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh disekat atas alasan maklumat tidak tepat.

“Sekatan terhadap kebebasan bersuara yang dibenarkan di bawah Perkara 10(2)(a) tidak merangkumi kenyataan yang tidak tepat,” katanya.

“Pertuturan yang memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan yang boleh dihadkan, dan itu adalah sukar untuk dipenuhi.”

Dalam satu kenyataan, Pengarah LFL Zaid Malek turut menyifatkan kenyataan Fahmi sebagai “cubaan jelas untuk mewajarkan atau meletakkan asas untuk menyekat portal atau laman sesawang yang mengkritik kerajaan”.

Read more here



Comments
Loading...