Sarawak tuntut 6 telaga minyak baharu
Sarawak menuntut enam telaga minyak dan gas yang ditemui Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) di perairan wilayah negeri itu.
(Berita Harian) – Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, berkata negeri itu mempunyai hak terhadap telaga minyak terbabit mengikut Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958.
Beliau berkata, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg akan mengadakan pertemuan dengan PETRONAS dalam tempoh terdekat bagi membincangkan tuntutan itu.
“Telaga minyak dan sumber asli lain ditemui di wilayah Sarawak, jadi ia adalah milik Sarawak.
“Kerajaan Sarawak yakin sumber minyak dan gas yang berada dalam lingkungan 200 batu nautika dalam perairan Sarawak adalah milik negeri ini,” katanya.
Beliau dipetik laporan sebuah akhbar tempatan Sarawak berkata demikian ketika menghadiri majlis makan tengah hari untuk Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing, di sini, semalam.
Pada 24 Julai lalu, PETRONAS Carigali Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh PETRONAS mengumumkan penemuan enam telaga minyak dan gas di lima blok di luar pantai Sarawak.
Penemuan itu membabitkan telaga Gedombak di Blok SK306 dan Mirdanga di Blok SK411 (di wilayah Balingian), Sinsing di Blok SK313, telaga Machinchang dan Pangkin di Blok SK301B, dan telaga Kalung Emas di Blok SK315 (di wilayah West Luconia).
Dr Sim berkata, PETRONAS yang memperoleh pendapatan AS$88.3 bilion tahun lalu berjaya mengaut keuntungan sebanyak AS$22.5 bilion selepas membayar cukai kepada Sarawak.