ADUN Pas persoal lantik Wavpay Fintech kendali INSAN Selangor
Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas mempersoalkan pelantikan Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd sebagai pengendai perkhidmatan program Insurans Am Selangor (INSAN).
(Malaysia Gazette) – ADUN Semenyih, Nushi Mahfodz berkata, terdapat banyak pemain anak negeri dalam bidang tersebut yang boleh memberi khidmat yang lebih baik.
“Yang tidak kurang pentingnya adalah isu tatakelola. Kita mahu jawapan kenapa MBI Selangor menandatangani perjanjian dengan Wavpay Fintech dari Pulau Pinang untuk membangunkan sistem e-dompet Negeri Selangor sedangkan ia baru beberapa bulan ditubuhkan serta tidak ada sebarang pengalaman,” katanya.
Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak Pas Pusat itu mempersoalkan mengapa pinjaman berlesen turut dimasukkan dalam aplikasi Wavpay tersebut.
Nushi mendakwa, pinjaman berlesen adalah haram di sisi agama kerana melibatkan riba.
Beliau juga turut memperoalkan tindakan tidak melantik anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Selgate Corporation Sdn Bhd yang lebih berpengalaman dalam bidang insurans.
“Kita juga mahu tahu mengapa ah long berlesen dimasukkan ke dalam e-dompet kerajaan negeri? Sedangkan kita maklum ah long berlesen ini adalah haram di sisi agama kerana melibatkan riba yang menindas.
“Waima yang meminjam ah long berlesen ini adalah orang bukan Islam, tidak selayaknya sesebuah kerajaan menggalakkan aktiviti ini melalui aplikasi kerajaan negeri.
“Tidak cukup mendapat habuan besar dengan membangunkan e-dompet Selangor, syarikat setahun jagung ini mendapat habuan lagi apabila menandatangani perjanjian dengan AmGeneral Insurance untuk program INSAN bernilai RM21.6 juta,” katanya.
INSAN Selangor menjadi perhatian selepas didakwa membuat pendaftaran secara automatik terhadap rakyat di negeri itu sekaligus mencetuskan kebimbangan terhadap pencerobohan data peribadi.
Bagaimanapun MBI Selangor berkata, dakwaan bahawa terdapat elemen pembocoran data rakyat dan penduduk Selangor dalam pelaksanaan program INSAN Selangor adalah tidak tepat.
Agensi pelaksana program itu berkata, setiap penerima polisi masih perlu menyempurnakan proses pengesahan diri dan bersetuju menerima tawaran perlindungan ini.