Anwar pengaruh dan hasut rakyat dalam dendamnya
Punca kacau-bilau politik selama ini
(Harakah Daily) – Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah punca kacau-bilau politik selama ini dan masih berterusan mempengaruhi dan menghasut rakyat ke dalam dendam dan kepentingan dirinya.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Anwar sedang mengheret rakyat dan negara ke belakang dengan bersikap mencari salah orang lain terutama lawan politiknya.
Bidas beliau, selama lebih lapan bulan menerajui pemerintahan Persekutuan sebagai Perdana Menteri, Anwar hanya mengulang sebut perkara sama, oleh itu dia mesti dijatuhkan dari kedudukan itu.
Menurut Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah, Anwar turut bertindak menyaman lawan-lawan politiknya termasuk beliau dan beberapa pemimpin politik lain, namun akan berdepan perkara itu di mahkamah.
“Dia hantar wakil suruh saya mohon maaf. Dia kata minta maaf bayar RM1 saja. Saya kata minta maaflah saya tak akan minta maaf. Bukan setakat seringgit, sekupang pun aku tak bayar.
“Saya akan lawan di mahkamah. Bawa kes ini ke mahkamah. Kita akan bongkar semua bagi orang muda tahu dia ini buat apa dulu,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengisytiharan Calon PN N.13 Simpang Jeram di Markas PAS Kawasan Bakri, di sini semalam.
Beliau turut membidas tata kelola dan segala prinsip sering dilaungkan pemimpin tersebut, tetapi apabila berkuasa kini mereka melanggar semua itu, antaranya berkenaan penggunaan aset kerajaan.
Namun pujinya, rakyat sudah mengajar kerakusan dan segala sikap mereka itu dengan keputusan besar dalam PRN enam negeri baru-baru ini, namun gelombang itu mesti diteruskan pada PRK P.161 Pulai dan N.13 Simpang Jeram.