Sultan titah ambil tindakan terhadap pemfitnah 200 sekolah tahfiz tutup


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, fitnah mengatakan lebih 200 buah sekolah tahfiz di Selangor telah diarahkan tutup amat tidak bertanggungjawab dan amat dikesali.

(Media Variasi) – Titah baginda, fitnah sebegini secara tidak langsung merisaukan ibu bapa dan boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap institusi agama dan pihak berkuasa agama khususnya di negeri ini.

Baginda juga mahu golongan berkenaan segera memberhentikan perbuatan khianat dan tidak bertanggungjawab itu.

“Beta mohon pihak polis segera mengesan kumpulan pemfitnah ini dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah langkah pemutihan perlu diambil terhadap sekolah-sekolah agama dan tahfiz swasta dan persendirian yang tidak berdaftar dengan mengarahkan pendaftaran dibuat bagi memastikan sekolah-sekolah ini adalah selamat dari segi ciri-ciri keselamatannya dan mempunyai suasana pembelajaran yang selesa untuk para pelajar menimba ilmu.

Sultan Selangor bertitah demikian pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-70 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Isnin, lapor Bernama.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi Majlis itu.

MKI turut membincangkan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dengan menggariskan panduan yang lengkap dan komprehensif.

Sultan Selangor yang juga Pengerusi MKI, bertitah penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah isu yang sensitif dalam kalangan umat Islam di Malaysia serta melibatkan penggunaan kalimah Allah oleh sebahagian orang Kristian di Sabah dan Sarawak perlu dikaji dan diteliti dengan mendalam dan dimuktamadkan segera dengan penuh hikmah dan tanggungjawab.

“Segala keputusan yang dicapai oleh MKI berkaitan isu kalimah Allah ini nanti akan diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada mesyuaratnya yang akan datang, dan dengan itu satu dasar berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negara ini dimuktamadkan,” titah baginda.



Comments
Loading...